Wira barisan depan kutip pelitup muka terbuang


Zaim Ibrahim

Vasugi Ramasamy dan suami A Moses menaiki motosikal mengutip pelitup muka yang dibuang tepi jalan. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Ogos 2020.

TIGA sekeluarga di Nibong Tebal, Pulau Pinang menggerakkan misi sukarela mengutip pelitup muka terpakai yang dibuang merata-rata, ketika alat pelindung wabak itu kini menjadi kebiasaan baharu sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.

Mereka mengutip pelitup muka yang dibuang di tepi jalan kerana bimbang ia mendatangkan risiko kesihatan. Tanpa sedar, mereka menyelamatkan alam sekitar ketika kajian sains menunjukkan pelitup muka mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai.

Vasugi Ramasamy, 36, memberitahu The Malaysian Insight, beliau mula membuat kerja sukarela itu selepas melihat pelitup muka terbiar di tepi jalan sepanjang laluan ke pasar raya tempat beliau bekerja sebagai seorang kerani akaun.

“Saya terkejut tengok terlalu banyak topeng muka dibuang di tepi jalan.

“Saya terfikir, kenapa benda ini boleh dibuang macam itu saja? Kita pakai untuk jaga diri kita dan elak daripada virus Covid 19.

“Tapi selepas guna, kita buang merata-rata tak ikut prosedur yang betul… orang lain pun boleh berjangkit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Topeng muka ini betul-betul bahaya, ada kuman daripada orang yang pakai.

“Kalau dia ada selesema pun, orang lain boleh berjangkit.. inikan pula kalau dia ada Covid-19,” tambahnya.

Vasugi Ramasamy berharap masyarakat membuang pelitup muka dengan cara yang betul demi aspek keselamatan dan mengelakkan pencemaran alam sekitar. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Ogos 2020.

Setakat ini Vasugi sudah dua kali meronda mengutip pelitup muka terbuang kerana hanya dapat melakukannya pada Ahad, hari beliau cuti kerja.

Pertama kali bersama sepupunya K Suriya, 19 sebelum suaminya A Moses turut bersama-sama turun tangan membantu pada kali kedua.

Dua kali itu juga mereka meronda dengan motosikal di sekitar Sungai Bakap selama dua atau tiga jam.

Menurut Vasugi, kerja sukarela mereka menarik perhatian orang ramai yang rata-rata tidak biasa melihat perkara seperti itu berlaku namun itu tidak mengganggu tumpuan mereka membersihkan sisa pelitup muka terbuang.

“Kita boleh tengok, topeng muka yang dikutip ini masih tidak hancur walaupun lusuh. Ia sukar nak diuraikan.

“Apabila tidak dibuang dengan cara betul dan merata-rata, masyarakat sendiri dah wujudkan suasana yang tak cantik di kawasannya,” tambah beliau.

Vasugi tidak berharap kerja sukarelanya jadi gerakan besar. Baginya, cukup kalau ia membuka mata kepada orang ramai untuk lebih sedar dan prihatin untuk tidak membuang pelitup muka atau sampah sarap merata-rata.

Kajian sains mendapati pelitup muka mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Ogos 2020.

“Selepas kutip topeng muka, saya akan muat naik di Facebook. Niat saya mahu tunjuk kepada rakan-rakan di Facebook dan masyarakat agar lebih peka tidak buang merata-rata. Itu sahaja motif saya.

“Kalau orang suruh saya kutip, tentu saya tidak mahu. Kalau saya suruh orang pun, mereka tidak mahu buat.

“Tetapi, dengan cara saya sampaikan mesej ini, mereka akan buat di kawasan perumahan sendiri pun sudah cukup,” katanya.

Aktivis alam sekitar dunia percaya dunia diancam 129 bilion pelitup muka dan 65 bilion sarung tangan plastik yang dibuang secara tidak betul sehingga ada yang terlepas ke laut dan mengancam hidupan liar.

Sebuah badan aktivis alam sekitar yang menjaga laut Waste Free Oceans juga mengingatkan pelitup muka jenis yang biasa mengandungi plastik mikro yang memakan masa sehingga 450 tahun untuk terurai secara semula jadi dan sempurna.

Menurut Kementerian Kesihatan, topeng muka perlu dimasukkan ke dalam plastik lain sebelum dibuang ke dalam tong sampah, sementara pengguna juga dinasihatkan supaya cuci tangan selepas membuang pelitup muka. – 30 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen