Tiada yang sensasi Bersatu mahu ahli bukan Melayu


UMNO telah lama membuka keahlian kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ramai ahli Umno yang terdiri daripada Bumiputera bukan Melayu dan bukan Islam, serta Orang Asal bukan Melayu dan bukan Islam.

PAS juga telah lama membuka keahlian kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Dahulu mereka ada Kelab Penyokong PAS dan kini Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai platform rasmi orang bukan Melayu dan bukan Islam dalam PAS. 

Malahan ada calon-calon bukan Melayu dan bukan Islam yang bertanding pilihanraya, termasuk dalam PRU14, dan inilah lambang keterbukaan Islam, iaitu selagi mana istiqamah setia dan taat kepada prinsip perjuangan, maka ia tidak menjadi isu.

PAS dan Umno membentuk Muafakat Nasional tanpa ada sesiapa yang mempersoalkan wujudnya ahli-ahli bukan Melayu dan bukan Islam dalam kedua-dua parti tersebut. 

Tidak ada sesiapa yang tiba-tiba terbangun dari tidur bercakap mengenai “Pakatan Melayu Islam” yang eksklusif. Kerana jika itulah pegangannya, maka Muafakat Nasional sendiri tidak akan dapat diwujudkan oleh kedua-dua parti yang memang telah ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam.  

Perlembagaan Bersatu sejak dari awal penubuhan lagi membolehkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menyertai parti. Tidak ada perbezaan dengan Umno dan PAS. Jadi janganlah mencipta cerita sensasi yang sebenarnya tidak wujud.

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersetuju untuk mengkaji mewujudkan struktur yang lebih baik untuk membolehkan orang bukan Melayu dan bukan Islam yang menjadi ahli bersekutu turut terlibat dalam kegiatan parti tanpa menjejaskan prinsip-prinsip yang dipegang oleh parti dan mengekalkan orang Melayu Islam sebagai teras. 

Perkara ini telah wujud dalam Umno dan PAS. Maka Bersatu juga mahu memberi ruang yang sama.

Tidak ada apa-apa yang sensasi dalam hal ini. 

Yang penting, kita teruskan pergerakan ke arah penyatuan agar kestabilan politik dalam negara dapat dikembalikan dan kita boleh memberi fokus kepada menjaga nasib rakyat. Cukup-cukuplah meraih populariti untuk peribadi. – 29 Ogos, 2020.

*Wan Saiful Wan Jan adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen