BN dijangka menang besar di PRK Slim


Barisan Nasional dijangka menang besar pada PRK Slim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

PILIHAN Raya Kecil N58 Slim di dalam kawasan Parlimen Tanjung Malim merupakan pilihan raya ke-12 pasca Pilihan Raya Umum ke-14. PRK Slim ini adalah pilihan raya kecil kedua selepas PRK N23 Chini pasca pertukaran kerajaan melalui “Langkah Sheraton”.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 23,094 pengundi awam dan pengundi awal serta pengundi pos layak membuang undi mereka dalam pilihan raya kecil ini.

Kawasan pilihan raya ini termasuk dalam kategori kerusi majoriti pengundi etnik Melayu berkomposisi sebanyak 75%. Pengundi etnik India pula adalah 13%, pengundi etnik Cina 10% dan baki 2% di kalangan Orang Asal.

Sebanyak 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada di dalam kawasan ini. Kawasan Felda merupakan penyumbang terbesar pengundi iaitu sekitar 56% adalah di kalangan pengundi yang mendiami tanah rancangan Felda. Terdapat lima PDM Felda iaitu Felda Gunung Besout 1, Felda Gunung Besout 2, Felda Gunung Besout 5, Trolak Selatan dan Trolak Utara.

Selepas penamaan calon, seramai tiga calon menawarkan diri untuk dipilih sebagai wakil rakyat di sini. Mohd Zaidi Aziz dipilih mewakili Barisan Nasional dan dua lagi merupakan calon Bebas. Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merupakan calon Bebas-Pokok mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang baharu sahaja ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad. Seorang lagi calon Bebas- Buku ialah Santharasekaran Subramaniam, bekas guru.

Pihak Ilham Centre mengikuti rapat pilihan raya ini dengan melakukan kajian di lapangan melalui survei dan temubual individu dan berkumpulan (FGD). Kajian dilakukan bermula 7 Ogos hingga 27 Ogos 2020 melibatkan pemilihan seramai 502 responden sebagai sampel dalam kajian yang dilalukan secara tatap muka di sini. Pensampelan responden dibuat melalui persampelan rawak berstrata melalui semua PDM dengan mengambil kira demografi yang dapat mewakili kawasan kajian ini. Ralat kajian yang ditemui ialah 4.3%.

Calon Pejuang lebih menonjol

Dalam PRK Chini (dan Slim), Pakatan Harapan gagal mencabar calon parti pemerintah. Usaha parti Pejuang yang menghantar calon walaupun atas tiket Bebas, wajar dipuji kerana berjaya menyekat kemenangan mudah buat calon Barisan Nasional.

Strategi BN pada awalnya meletakkan calon muda dalam pilihan raya kecil ini tetapi kewibawaan calon Mohd Zaidi tidak membawa aspirasi anak muda. Kempen Mohd Zaidi kelihatan tidak bertenaga sama ada dari segi aspek pengucapan awam ataupun merayu undi berbanding calon Pejuang.

Tiga calon PRK Slim yang mewakili Barisan Nasional dan dua lagi calon Bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

Namun kekurangan calon Mohd Zaidi diselamatkan oleh gerak kerja jentera BN dan beliau bertanding di kawasan selamat iaitu kubu kuat Umno yang tidak pernah tewas.

PRK Slim ini merupakan satu pilihan raya yang menguji sejauh manakah keupayaan calon Pejuang mampu mencabar hegemoni gabungan Muafakat Nasional di sini. Calon parti Pejuang ini memulakan langkah sebagai “underdog” yang berusaha menjadi David dalam pertembungan dengan Goliath.

Amir Khusyairi menampilkan citra yang segar sebagai calon muda, lincah, petah dan ramah berbicara, pidato yang baik serta kerajinan untuk bertemu dengan pengundi meletakkan dirinya sebagai calon yang paling menonjol dan berwibawa pada pilihan raya kecil kali ini.

Calon Bebas Santharasekaran pula tenggelam dan tidak mampu untuk berkempen dengan efektif kerana kekangan pengalaman, sumber dan jentera.

Pertimbangan parti mengatasi isu dan calon

Majoriti responden dalam kawasan kajian menyatakan bahawa pertimbangan utama mereka mengundi di dalam pilihan raya ini adalah lebih kepada faktor parti. Pola sebegini menepati pola kawasan demografi pengundi tradisi Melayu, yang mana pemusatan tumpuan mereka ialah kepada identifikasi parti. Peratus responden yang memilih identifikasi parti sebagai pertimbangan mereka sebanyak 67% berbanding faktor isu calon dan faktor isu.

Antara yang berlaku juga di sini ialah separa budaya (sub-culture) politik pengundi sini membuat penilaian kekuatan parti dengan melihat dari segi bilangan keahlian, jumlah cawangan, dan kekuatan jentera yang dipamerkan.

Dari aspek ini, sudah tentulah calon BN mendapat kelebihan tambahan pula pada pilihan raya kali ini turut dibantu oleh Pas selepas dua parti Melayu ini bersatu atas platform Muafakat Nasional.

Calon BN mendapat undi PAS

Secara tradisi di kawasan demografi ini, sekian lama PAS memberi cabaran kepada Umno. Sehinggalah PRU14 yang lalu berlaku pertembungan tiga penjuru, hasillnya calon PH mendapatkan undi yang lebih baik berbanding calon PAS.

Tetapi undi asas PAS secara puratanya mempunyai sekitar 22% akan diterjemahkan dalam pilihan raya ini dengan mengundi calon BN. Dapatan ini lahir berdasarkan penyataan responden di kalangan pengundi PAS atas semangat kerjasama politik dua parti tersebut. Pola sokongan PAS yang memberi undi kepada calon BN ini bermula di PRK Cameron Highlands sehinggalah kini.

Andaian mengatakan akan wujud ahli PAS yang tidak berpuas hati kerjasama PAS-Umno dan melakukan undi protes ternyata tidak berlaku. Walaupun wujud ahli PAS yang tidak boleh menerima kerjasama ini, namun apabila sampai di kotak undi, mereka akan patuh kepada arahan jamaah (parti) mereka dengan mengundi calon BN.

Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merupakan calon Bebas-Pokok mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang baharu sahaja ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

Gabungan Umno-PAS diterima baik, Bersatu terpinggir, Pejuang untung

Antara tumpuan utama kajian ini juga ingin mengukur sejauhmanakah gabungan politik diterima bagi pengundi Slim. Dapatan kajian menunjukkan gabungan Muafakat Nasional melibatkan gabungan Umno-PAS diterima baik oleh pengundi Melayu.

Menerusi temubual mendalam, responden yang menyokong Muafakat Nasional tidak melihat parti Bersatu sebagai parti yang melengkapkan gabungan dua kuasa parti Melayu berkenaan. Ini dapat dilihat ketara apabila jentera Bersatu bergerak berasingan dan kelihatan terpinggir dari kesepaduan gerak kerja kempen Muafakat Nasional.

Namun keadaan ini diselamatkan oleh populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu yang mencatatkan peratusan cemerlang di kalangan responden Melayu.

Responden juga melihat pengumuman kemasukan Azmin Ali dan penyokong beliau ke dalam Bersatu pula tidak memberi lonjakan sokongan kepada BN.

Malah, keadaan ini memberi isyarat bahaya kepada Bersatu yang mana ahli mereka terdedah kepada naratif yang dibawa oleh parti Pejuang. Ahli Bersatu yang tidak mendapat laba politik ataupun yang hilang lantikan politik semasa PH memerintah kini beralih sokongan mereka kepada calon yang mewakili perjuangan Dr Mahathir.

Pendek kata, pilihan raya ini adalah medan promosi parti baharu dan memasarkannya kepada khalayak ramai secara meluas. Pejuang juga menuai buah yang paling rendah dicapai (low hanging fruits) dengan mengutip ahli Bersatu untuk mendukung perjuangan mereka.

Jentera BN lebih tersusun, PH bantu tidak sepenuh kekuatan

Sepanjang tempoh kajian dalam fasa kempen, responden yang ditemui mengakui bahawa jentera Barisan Nasional lebih tersusun dan menyeluruh.

Ini dibantu dengan kekuatan peranan Pas yang menjadi pelengkap kepada penguasaan segmen Melayu-Islam di dalam kawasan pilihan raya ini.

Mantan perdana menteri Najib Razak memanfaatkan kesinambungan fenomena “Malu Apa Bossku” untuk dibawa ke Slim. Berasaskan pemerhatian kami, Najib Razak meluangkan dan berkempen lebih intensif dan agresif di Slim berbanding siri pilihan raya kecil sebelum ini. Keputusan mahkamah mendapati beliau bersalah menjadi pemicu kempen beliau di sini.

Kekuatan jentera BN terletak kepada kesungguhan sayap Wanita dan Puteri Umno diakui oleh pengundi dan responden sebagai jentera yang sangat efektif merayu undi. Secara relatif, gerak kerja calon dan jentera BN menekankan strategi menemui seramai mungkin pengundi berbanding ceramah dan penerangan dalam skala besar.

Najib Razak turut kelihatan berkempen di PRK Slim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

Sebaliknya berlaku kepada calon Bebas, Amir Khusyairi. Pimpinan utama Pejuang terutama Dr Mahathir turun sendiri sebanyak dua kali untuk menyatakan sokongan beliau kepada wakil parti yang menggunakan simbol Pokok ini.

Sambutan terhadap dua acara ceramah Dr Mahathir dan pimpinan PH yang lain antara tertinggi yang pernah dicapai oleh calon Bebas berbanding sebelum ini. Mukhriz Mahathir dan Maszlee Malik kelihatan berusaha keras menerusi siri merayu undi mahupun ceramah kelompok.

Pada sisi pembangkang pula, PH tidak berkempen dengan penuh kekuatan mereka. Paling ketara ialah PKR. Kelibat Presiden PKR Anwar Ibrahim langsung tidak kelihatan membantu kempen di sini walaupun DUN Slim berada di bawah Parlimen Tanjung Malim yang diwakili oleh Ahli Parlimen PKR sendiri iaitu Chan Lih Kang. Hanya Setiausaha Agung PKR dan beberapa pimpinan pertengahan turun membantu kempen calon Pejuang.

Amanah dan DAP pula lebih menonjol dan agresif membantu calon Pejuang di sini.

Namun begitu, persoalan berikutnya muncul adakah pengundi di kalangan penyokong PKR akan mengundi calon parti yang berseteru dengan Presiden mereka?

Ke mana arah pengundi PH?

Dalam kajian ini, kami cuba mendalami bagaimana psikologi pengundian di kalangan 6,144 pengundi yang mengundi Pakatan Harapan dalam PRU 14 yang lalu.

Menariknya dalam dapatan kajian kami, bagi penyokong BN yang dahulunya mengundi PH menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan kembali menyokong BN kali ini. Ini kerana mereka melihat pada persepsi mereka, kerajaan di bawah PH gagal membawa perubahan yang diharapkan oleh mereka.

Tidak melaksanakan manifesto, menghapuskan beberapa subsidi penting orang Melayu antara hujah yang menyokong segmen pengundi ini untuk mengubah pola sokongan mereka.

Segmen pengundi bukan Melayu terutama pengundi Cina di Pekan Slim dan Sungai Slim Utara kelihatan berbelah bahagi. Walaupun kecewa dengan prestasi PH semasa memerintah, namun langkah mengambil alih kerajaan sebelum tamat penggal pemerintahan memberi nafas kepada pembangkang. Responden etnik Cina menyatakan kemungkinan anak-anak mereka yang berada di luar kawasan tidak balik mengundi kerana tidak faktor mendesak.

Anwar Ibrahim tak nampak kelibat di PRK Slim, walaupun DUN Slim terletak dalam kawasan Parlimen dipegang PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

Selain itu, pengundi Cina menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan Dr Mahathir malah ada yang percaya apa yang berlaku pada politik sekarang adalah atas perancangan beliau. Dengan persepsi meluas ini, kami tidak dapat menbaca dengan jelas ke mana halatuju undi Cina di dua PDM ini yang mana dahulunya menyumbang kepada undi terbesar kepada calon PH.

Terdapat tiga PDM yang mana peratusan agak besar didiami oleh pengundi India iaitu Ladang Sungkai, Ladang Kelapa Bali dan Trolak. Pertimbangan utama pengundi India ialah pihak mana yang paling membela mereka menerusi bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Atas aspek ini, BN mempunyai kelebihan kerana ketika fasa PKP, kerajaan banyak menurunkan bantuan kepada rakyat.

Berdasarkan perkembangan ini, pengundi India yang dahulunya memberi sokongan besar kepada PH akan beralih arah sokongan mereka.

Pengundi Orang Asal nampaknya kekal tiada perubahan. Walaupun tiada apa yang mereka dapat banggakan selama mereka menyokong BN, namun pola pengundian mereka masih memihak kepada parti berkenaan.

Naratif Melayu-Islam mendominasi

Tumpuan perbincangan di kalangan pengundi Melayu lebih tertumpu kepada penyatuan dua parti terbesar Melayu iaitu antara Umno dan PAS. Perkara ini kami temui sangat dominan dengan naratif kuasa kerajaan Melayu-Islam kini melegakan orang Melayu seolah-olah keluar daripada belenggu sengsara pemerintahan PH selama 22 bulan itu.

Mereka juga tidak kisah bagaimana kaedah peralihan Kerajaan PH kepada Kerajaan Perikatan Nasional ini berlaku. Sebaliknya mereka berasa sangat selesa dengan pentadbiran yang dikatakan Kerajaan Melayu-Islam. Mereka menyalahkan PH yang gagal membela agenda Melayu-Islam ketika mereka di puncak kuasa.

Tambah menarik lagi, kami mengenalpasti elemen serangan kepada DAP yang digambarkan sebagai parti yang tidak sensitif dengan sentimen pengundi Melayu.

Parti lain di dalam PH juga terpalit sama termasuklah Dr Mahathir yang dikatakan turut tunduk dengan dominasi DAP semasa dalam kerajaan PH. Naratif berbaur agama dan sentimen Melayu ini kami temui menebal dan melebar pada segmen pengundi Melayu terutama di perkampungan Felda dan kampung tradisi Melayu dalam DUN Slim ini.

Jentera Pejuang yang dibantu oleh PH cuba mengalih semula ke tajuk yang memangkin sokongan kepada PH dalam PRU14 lalu dengan tema rasuah, kleptokrasi, kerajaan pintu belakang dan seputar isu-isu yang panas di Parlimen. Kami dapati tiada lagi keterujaan (excitement) di kalangan pengundi pada tema-tema sedemikian.

Dalam pada itu, walaupun calon BN bertanding di atas logo BN, tetapi strategi kempen BN menekankan Muafakat Nasional. Penekanan ini menyebabkan Perikatan Nasional tenggelam dalam naratif kempen di sini.

Naratif Melayu Islam dibawa Umno dan PAS mendominasi PRK Slim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

Rumusan kajian

Berdasarkan semua dapatan utama di atas, kami merumuskan calon BN berasa di aras selesa untuk menang dalam pilihan raya kecil kali ini. Mohd Zaidi beruntung kerana kawasan yang mempunyai demografi pengundi seumpama Slim ini tidak menguji kemampuan dan kewibawaan calon disebabkan pengundi mengukur sokongan mereka atas pertimbangan parti.

Sekiranya disukat pada kayu aras kewibawaan calon, Amir Khusyairi lebih menonjol berbanding Mohd Zaidi. Menariknya, pertembungan dua anak tarbiah PKPIM/ABIM semasa di kampus membawa wadah dan aspirasi perjuangan yang berbeza di alam politik.

Sekiranya Amir Khusyairi mampu mengekalkan undi yang diperoleh PH ataupun tidak hilang wang pertaruhan, maka ianya boleh dianggap satu kejayaan buat parti Pejuang dalam menempatkan mereka sebagai sebuah parti baru dalam landskap politik negara.

Dengan cabaran Pejuang, parti ini berjaya memanfaatkan ruang dan peluang semasa fasa kempen ini untuk menyerang parti Bersatu terutama Muhyiddin Yassin dan dalam masa yang sama menarik perhatian publik kepada perjuangan parti yang baharu ditubuhkan ini. Untuk menang, sebagaimana dinyatakan tadi, keadaan amat sukar untuk mengubah penguasaan dan kekuatan Umno dan PAS di sini.

Jadi jumlah undi yang akan diterima oleh Pejuang akan memberi skala pemberat kepada penerimaan pengundi. Ini perlu dilihat oleh Muafakat Nasional bahawa parti baru ini mampu menggugat asas kekuatan Bersatu dan menganggu undi Melayu yang menjadi teras Pas-Umno.

Calon ketiga tenggelam dan tidak mampu memberi saingan. Hilang wang deposit sudah pasti dan mungkin hanya mengharapkan undi simpati kepada beliau. Atas meraikan demokrasi, usaha Santharasekaran boleh dianggap sebagai meraikan ruang demokrasi yang wujud dalam politik negara kita. – 28 Ogos, 2020.

*Kenyataan media dikeluarkan Ilham Centre.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen