Kenyataan Azmin mengenai perjanjian dagang mengelirukan, kata Guan Eng


Kamles Kumar

Lim Guan Eng mahu Azmin Ali menjelaskan maklumat salah mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Ogos, 2020.

MOHAMED Azmin Ali cuba mengelirukan ahli Parlimen dengan membuat kenyataan tidak tepat mengenai pengesahan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP berkata bahawa Azmin yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri telah berbohong dan mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan CPTPP sudah disahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 5 September 2018.

Beliau menambah Azmin harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana berbohong di Dewan Rakyat.

Bekas menteri kewangan itu berkata PH sebenarnya telah menarik semula keputusannya untuk mengesahkan perjanjian perdagangan dalam mesyuarat Kabinet berasingan yang diadakan pada 29 November tahun itu. 

Bekas menteri kewangan itu berkata bahawa dia merujuk Ahli Parlimen Gombak itu kepada jawatankuasa Parlimen pada 13 Ogos.

“Namun, Azmin mengarahkan Setiausaha Agung kementeriannya, Lokman Hakim Ali untuk menulis surat kepada Speaker Azhar Azizan Harun untuk menjelaskan isu berkenaan.

“Azhar kemudian menolak usul untuk merujuk Azmin ke jawatankuasa,” katanya ketika berucap pada sidang media di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Menurut Lim dia bersedia menarik keputusan merujuk Azmin ke panel tersebut jika menteri kanan itu meminta maaf kepada Dewan Rakyat dan menjelaskan fakta-fakta berkenaan CPTPP. 

 

Pada 4 Ogos, Azmin berkata PH tidak pernah memutuskan untuk menolak perjanjian tersebut dan menyalahkan Lim kerana mempolitikkan perkara berkenaan.– 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen