KUMPULAN wartawan Malaysia hari ini menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberikan alasan kenapa The Malaysian Insight (TMI) perlu disiasat.
Kumpulan itu berkata, tuduhan bahawa laman web TMI menghina Perdana Menteri Najib Razak tidak mempunyai bukti kukuh.
Tuduhan itu dibuat oleh beberapa perwakilan ketika persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 semalam.
Sehubungan itu, Menteri SKMM Salleh Said Keruak mengumumkan untuk menyiasat TMI.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, Media Freedom Committee (Malaysia) Wan-IFRA, Badan Wartawan Malaysia (IoJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata, agensi kerajaan itu tidak menyediakan sebarang bukti untuk mempertahankan hujah bahawa TMI menghina perdana menteri.
“Sangat membimbangkan bila agensi kerajaan cepat mengumumkan siasatan terhadap agensi berita yang hanya berdasarkan rungutan yang tak punya asas dan bukti kononnya (TMI) “menghina” perdana menteri, seperti yang didakwa.
“Salleh perlu nyatakan dengan terperinci siasatan yang dijatuhkan itu. Jika tidak, siasatan itu hanyalah tambahan kepada senarai panjang siasatan terhadap pelbagai portal berita di negara ini yang jelas membuka pekung bahawa negara ini menyekat kebebasan akhbar,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, Salleh berkata agensinya sedang menyiasat sama ada TMI telah melanggar sebarang undang-undang dalam tuduhan laporan berita yang kononnya menghina Najib.
Bagaimanapun, beliau tidak pula menyatakan di bawah undang-undang mana TMI disiasat.
Kumpulan wartawan itu berkata, ada banyak saluran untuk mendapatkan tindakan undang-undang daripada menggesa siasatan jenayah terhadap organisasi media.
“Kritikan pegawai penjawat awam adalah kunci iutama kebebasan bersuara, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan patut memberi keutamaan kepada kebebasan media, bukannya mengganggu (kebebasan bersuara) dengan mengambil tindakan jenayah,” kata mereka.
Kumpulan itu juga berkata, mereka menyokong cadangan Ketua Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Chamil Wariya mewujudkan sebuah majlis media bebas di Malaysia.
“Majlis itu patut mengawal organisasi media yang melangkau sempadan etika kewartawanan tanpa campur tangan kerajaan dalam siasatan jenayan,” tambah kenyataan itu.
Pada PAU semalam, perwakilan Umno Pulau Pinang Mohd Nashrol Hisham Abdullah menyeru pihak berkuasa menyiasat pemilik TMI.
Nashrol berkata, beliau telah melakukan semakan selepas isu yang sama dibangkitkan oleh perwakilan Johor Haliza Abdullah pada hari sebelumnya.
Haliza sebelum ini berkata, TMI berterusan menyerang ruang peribadi perdana menteri.
“Saya harap SKMM dan kerajaan mengambil tindakan dan semak sama ada The Malaysian Insight beroperasi di bawah undang-undang,” katanya. – 10 Disember, 2017.
Komen