Salahuddin nafi khabar angin akan sertai Bersatu


Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyifatkan khabar angin dia sertai Bersatu hanya 'cubaan nakal' bertujuan menarik beliau serta yang lain lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub menafikan khabar angin, kononnya beliau bersama lima lagi Ahli Parlimen dari parti itu akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Pulai itu menyifatkan khabar angin itu hanya ‘cubaan nakal’ yang semata-mata bertujuan menarik beliau serta yang lain untuk melompat parti.

“Saya masih lagi Parlimen Amanah dan lima yang lain masih lagi duduk di kerusi pembangkang sebagai Ahli Parlimen pembangkang,” katanya kepada Bernama di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu menurut satu sumber maklumat yang disebar ramai menerusi media sosial, enam Ahli Parlimen Amanah dikatakan akan menyertai Bersatu dalam masa terdekat, bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengelakkan krisis politik kembali berulang.

Parti Amanah ketika ini mempunyai 11 Ahli Parlimen.

Salahuddin berkata ini adalah kali kedua beliau dilanda khabar angin serupa, apabila sebulan lalu dia didakwa menjadi dalang bersama dua lagi Ahli Parlimen Amanah dikatakan akan melompat parti.  β€“ Bernama, 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen