WALAUPUN Arab Saudi lantang mengecam pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, perkembangan yang berlaku di sebalik tabir menunjukkan sikap berbeza.
Jurucakap Palestin mendedahkan, Riyadh menjalankan kerjasama dengan Washington sejak berminggu-minggu lamanya untuk menekan negara mereka, lapor Reuters.
Pada pandangan mata dunia, istana Arab Saudi menyifatkan pengiktirafan AS itu sebagai keputusan yang “tiada justifikasi dan tidak bertanggungjawab” dan juga “langkah ke belakang dalam usaha memajukan proses damai”.
Namun pegawai Palestin mendedahkan, Riyadh dalam perkembangan awal bersetuju dengan strategi besar AS berhubung pelan damai Israel-Arab, lapor agensi itu.
Laporan Reuters memetik kenyataan empat pegawai Palestin itu, yang enggan dinamakan.
Mereka mendedahkan, Putera Mahkota Arab Saudi dan Presiden Mahmoud Abbas berbincang panjang lebar dan membuat tawar menawar dengan Trump serta Jared Kushner, penasihat kanan yang juga menantu presiden AS itu.
Tawaran berkenaan dilaporkan akan diumumkan dalam masa enam bulan pertama pada 2018.
Seterusnya, pegawai Palestin mendedahkan, dalam pertemuan itu Putera Mohammad meminta Mahmoud menunjukkan sokongan kepada pelan damai yang diusahakan pentadbiran AS.
Seorang lagi pegawai Palestin menyebut, Putera Mohammad memberitahu Abbas: “Bersabar, anda akan mendengar berita baik. Proses damai akan diteruskan.”
Arab Saudi dan AS berkongsi wawasan sama – menangani Iran yang merupakan seteru besar Riyadh di wilayah itu. Ini merupakan salah satu sebab yang memperbaiki hubungan AS-Arab Saudi secara dramatik di bawah Trump.
Laporan itu turut menyebut mengenai peranan Kushner, 36, yang bertanggungjawab merangka pelan damai tersebut bersama utusan AS ke Timur Tengah, Jason Greeenblatt.
Bapa Kushner mengenali pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu dan Kushner juga menjalin hubungan kuat secara peribadi dengan Putera Mohammad.
Istana Arab Saudi bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen dalam laporan Reuters berhubung hal ini.
Jurucakap White House pula menyebut, Kushner tidak membuat permintaan agar Putera Mohammad berbincang dengan Abbas berhubung pelan tersebut.
Menurut Reuters, pegawai Palestin ini bimbang jika Trump akan menyokong Israel dengan memberikan kuasa yang terhad untuk mentadbir kerajaan sendiri di kawasan-kawasan terpisah di Tebing Barat yang diduduki Israel. Pegawai Arab Saudi turut mengesyaki perkara sama.
Ini memandangkan mereka tiada lagi harapan untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.
Mereka juga bimbang jika pelarian yang tersasar akibat perang Arab-Israel pada 1948 dan 1967 ini tidak akan dapat kembali ke wilayah diduduki Israel.
Pegawai Palestin memberitahu Reuters, mereka bimbang jika cadangan oleh Putera Mohamad kepada Mahmoud – didakwa berpunca daripada Kushner – akan membawa kepada senario ini.
Seorang lagi pegawai mendedahkan pelan yang disampaikan kepada Abbas. Ia termasuk menubuhkan “entiti Palestin” di Gaza dan juga di wilayah pentadbiran tertentu di Tebing Barat.
Ia juga menetapkan yang pendudukan Yahudi akan kekal di Tebing Barang dan pelarian Palestin tiada hak untuk pulang serta menuntut semula tanah mereka.
Seperkara lagi, Israel akan bertanggungjawab ke atas sempadan, kata pegawai Palestin itu.
Cadangan itu akan memberi kawalan lebih luas kepada Palestin tetapi tersasar jauh daripada tuntutan mereka.
Jurucakap White House bagaimanapun menafikan Kushner menyatakan butiran pelan tersebut kepada Putera Mohammad.
Pegawai Palestin berkeata, Trump turut menghubungi Mahmoud pada awal minggu ini dengan pujukan yang warga Palestin akan mendapat untung daripada pelan ini.
Trump memberitahu Mahmoud beliau ada rancangan yang disukai oleh presiden Palestin itu.
Namun Trump enggan mendedahkan butiran itu, kata pegawai Palestin.
Pihak Arab Saudi pula lebih optimis dengan potensi tawaran Trump. Seorang pegawai Arab Saudi berkata, beliau percaya satu persefahaman akan muncul dalam beberapa minggu lagi.
Pegawai berkenaan yang enggan dinamakan memberi nasihat supaya tidak memandang rendah keupayaan Trump dari segi tawar menawar.
“Dia sentiasa menyebutnya sebagai tawaran paling utama,” kata pegawai itu seperti dikutip Reuters.
Bagaimanapun, beliau tidak yakin kerajaan Arab Saudi akan menerima tawaran tersebut, melainkan adanya tawaran menarik mengiringinya.
“Melainkan, ada sesuatu yang dapat memaniskan lagi tawaran yang (Raja Salman dan putera mahkota) dapat promosi ke dunia Arab – bahawa Palestin akan mendapat negara sendiri,” katanya. – 10 Disember, 2017.
Komen