Polis Turki tahan 12 aktivis pada himpunan anti Israel


Penunjuk perasaan berkumpul di luar Hagia Sophia sebagai tanda protes terhadap Israel dan Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – Gambar EPA, 10 Disember, 2017.

PIHAK berkuasa Turki menahan 12 aktivis pada Sabtu ketika melakukan protes terhadap Israel dan Amerika Syarikat (AS) selepas pengiktirafan Washington terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Memegang spanduk seperti “menentang imperialisme, Zionisme dan rakan kongsi domestiknya”, para penunjuk perasaan berkumpul di Kadikoy, Istanbul.

Protes oleh pihak konservatif Turki terhadap tindakan AS mengenai status Baitulmaqdis berlangsung dengan aman di Turki sejak beberapa hari lalu.

Penunjuk perasaan pro Palestin juga bersembahyang di luar Hagia Sophia, bekas gereja Byzantine yang menjadi masjid selepas penaklukan Ottoman di Istanbul tetapi kini menjadi muzium.

Sesetengah konservatif Turki berpendapat ia harus dipulihkan menjadi masjid, satu langkah yang akan menerima kecaman daripada peringkat antarabangsa.

“Kami mahu rakyat Palestin dan orang-orang Islam mendapat Baitulmaqdis yang bebas. Kami mahu orang Israel meninggalkannya. Kami mengecam terhadap keputusan tidak adil itu,” kata seorang daripada memprotes, Muzeyfe Altug.

Parti Saadet Turki turut merancang untuk mengadakan perhimpunan besar di Istanbul berhubung isu itu pada Ahad.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan telah menyuarakan bantahan terhadap keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menggesa sidang kemuncak negara-negara Islam pada 13 Disember di Istanbul. – AFP, 10 Disember, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen