BMI ideal jadi kriteria kenaikan pangkat anggota polis


KDN berkata BMI ideal adalah satu daripada kriteria kenaikan pangkat dalam pasukan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

INDEKS jisim badan (BMI) ideal adalah satu daripada kriteria kenaikan pangkat dalam pasukan polis, kata Kementerian Dalam Negeri.

Pegawai perlu mencatatkan bacaan BMI yang ideal antara 18.5 hingga 28 dan aktif serta cergas secara fizikal, kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Parlimen.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan BMI sebagai salah satu pemarkahan bagi tujuan kenaikan pangkat untuk menggalakkan setiap warga PDRM sentiasa memastikan tahap BMI mereka dalam tahap yang normal,” katanya.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (Labis-PH) yang bertanya mengenai program dalam pasukan polis untuk memastikan kesihatan fizikal para petugas, memandangkan ramai pegawai polis boleh dianggap sebagai obesiti.

Pang juga berkata lebih 10,000 pegawai masih dikategorikan sebagai obesiti. Beliau juga bertanya mengenai berat dan tinggi yang sesuai untuk pegawai.

Kementerian berkata ketinggian yang sesuai untuk pegawai lelaki ialah 163cm dan berat sebanyak 50kg hingga 60kg.

Bagi pegawai wanita, ketinggian ideal ialah 158cm dan berat, 48kg hingga 58kg.

Kementerian menambah yang dasar “Trim and Fit” diperkenalkan di kalangan pasukan tersebut sejak akhir 2016. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen