Rindu pada Sapardi Djoko Damono 


Zainal Rashid Ahmad

Sapardi Djoko Damono merupakan beberapa penyair Indonesia yang cukup popular di Malaysia dan sering dibawa hadir ke beberapa acara sastera di negara ini. – Gambar Facebook, 26 Ogos, 2020.

TULISAN sekilas ini bagi mengenang Allahyarham Sapardi Djoko Damono, yang meninggal dunia lima minggu lalu.

Saya menempuh alam remaja yang indah dan dewasa bersama kehalusan puisi-puisinya.

Sapardi kelahiran Surakarta; penyair Indonesia yang paling dikenang kerana puisi-puisi cintanya yang indah. Antaranya, Hujan Bulan Juni dan Aku Ingin.

Saya turunkan petikan sajak Aku Ingin:

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana

dengan kata yang tak sempat diucapkan

kayu kepada api yang menjadikannya abu

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana

dengan isyarat yang tak sempat disampaikan

awan kepada hujan yang menjadikannya tiada.

Tapi saya lebih mengenang puisi-puisi falsafah dan ketuhanan yang ditulisnya pada dekad 60-an, 70-an dan 80-an. Buku Duka-Mu Abadi (1969), Mata Pisau (1974), Sihir Hujan (1983) dan Perahu Kertas (1983) sangat mengisi usia muda saya.

Bertemu Sapardi pada 2016 hanya menjadikan saya mampu terpegun. Walaupun sama-sama menjadi panel di The Kuala Lumpur Literary Festival (KLLF), saya tidak berani menyapanya. 

Rasa gementar melihat ketenangan dirinya serta kagum mendengar tuturnya yang indah dan lembut - menjadikan saya hanya mampu mencuri pandang lelaki hebat ini dari dekat.

Puisi romantisnya Hujan Bulan Juni masih menemani saya sampai sekarang; terutama pada saat sepi malam hari.

Mendengar puisinya dari YouTube melalui bacaan bintang rock terkenal Indonesia, Fiersa Besari – tetap terasa sangat mengesankan.

Selalunya saya akan tertidur setelah mendengar bait-bait indah mengenai betapa cinta itu satu anugerah Allah.

Apabila difilemkan - ia melengkapkan peranan puisi ini yang menjadi trending pada jutaan pasangan yang bercinta yang pernah mengirimkan kata-kata indah Sapardi kepada buah hati mereka.

Sapardi bukan penyair alami semata-mata. Secara profesional, pada 1973 Sapardi pernah menjadi pengarah Pelaksana Yayasan Indonesia yang menerbitkan Majalah Sastera terkenal - Horison.

Pada 1974, Sapardi mengajar di Fakulti Sastera Universiti Indonesia. Secara akademis, dia adalah Profesor Dr. Sapardi Djoko Damono. Cuma, lahan kepenyairan menjadikan namanya lebih popular sebagai SDD.

Ketika berada di Kuala Lumpur pada 2016, dengan kemeja kasual dan topi baretta - Sapardi walaupun tua masih tampak sihat.

Apabila berbicara jelas terlihat mentalnya kekal tajam dan pemikirannya pada kesusasteraan mekar dan bugar. Sesi pembentangannya paling padat dihadiri anak muda.

Malah, penganjur bimbang apabila ruang dewan di Art Printing Works Bangsar sesak dibanjiri peserta. Pintu dewan segera ditutup pada 1.45 petang.

Apabila ruang mula diserbu peminat Sapardi seawal 1.30 petang - penganjur menutup pintu tanda kerusi sudah dipenuhi.

Ruang yang muat 80 hadirin itu sudah padat 45 minit sebelum sesi bermula.

Walaupun namanya mekar di Indonesia - tidak boleh dinafikan - Sapardi “bapa bagi keindahan puisi” sangat dihormati dan digilai anak muda sastera Malaysia.

Dia nampak tenang ketika duduk di kafe menantikan giliran sesi ceramahnya.

Kehebatan namanya, serta dirinya yang sohor dan dihormati kerana “imej bersih” dan ketajaman intelektual - menjadi Sapardi tidak diserbu di meja kafe. Ruang privasinya dihormati walaupun wajah tuanya menampakkan keramahan.

Dia bukan penggila “lime light” dan Sapardi juga dikenali sebagai bukan “pemburu tumpuan”.

Itu menjadikan mejanya di kafe tidak dikerumuni sesiapa. Anak muda dan peminat tidak menyerbunya.

Sapardi duduk menikmati kopi pada usia 76 tahun dan hanya sesekali didekati pelayan yang menyedari lelaki tua itu tetamu VIP.

Saya melihatnya; pada matanya - pada sosok tubuhnya yang kurus dan ketenangan pada wajahnya.

Saya tidak percaya - “inilah Sapardi - si empunya kata-kata indah yang serba magis dan romantis itu.”

Enam minggu selepas pemergiannya, saya masih mengenang seorang Sapardi; penyair, akademis, editor dan seorang manusia yang punya reputasi dan berjasa besar pada dunia sastera Melayu Nusantara.

Kita tetap akan mengenang betapa keindahan bahasa puisinya sangat luar biasa; menciptakan momen diksi yang menyihir pembaca seperti puisi Sihir Hujan:

Hujan mengenal baik pohon, jalan dan selokan

Suaranya bisa dibeza-bezakan

Kau akan mendengarnya meski sudah kaututup pintu dan jendela

Meskipun sudah kau matikan lampu

Hujan, yang tahu benar membeza-bezakan, telah jatuh di pohon, jalan, dan selokan

Menyihirmu agar sama sekali tak sempat mengaduh

Waktu menangkap wahyu yang harus kau rahsiakan

(1983)

Itulah antara ratusan puisi Sapardi yang menjadi sejarah; alam Melayu memiliki seorang penyair yang luar biasa keindahan bahasanya. – 26 Ogos, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen