Lambang parti penentu Pilihan Raya Negeri Sabah, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

Lambang ikonik Parti Bersatu Sabah akan menghiasi semula Pilihan Raya Negeri yang akan diadakan hujung September ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid , 26 Ogos, 2020.

LAMBANG dua tangan berjabat salam, yang pernah menjadi ikon cita-cita Sabah untuk autonomi yang lebih luas dan hilang selama dua dekad, akan kembali mewarnai arena politik Sabah dalam pilihan raya negeri bulan depan.

Parti Bersatu Sabah (PBS) baru-baru ini mengumumkan akan kembali menyertai pilihan raya negeri dengan menggunakan lambangnya sendiri, yang kali terakhir dipakai dalam pilihan raya umum 1999.

Kembalinya PBS dengan lambangnya sendiri mencerminkan persaingan parti-parti politik untuk menyebarkan pengaruh dan meraih perhatian pengundi di gelanggang politik yang seru dan perikatan kerjasama yang berubah-ubah.

Parti pembangkang seperti PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) mahu menggunakan lambang sendiri, sementara parti lain seperti Umno dan Bersatu terus berunding untuk membentuk barisan pembangkang yang utuh.

Parti-parti dalam gabungan yang diketuai Parti Warisan Sabah pula berbincang untuk menggunakan lambang kapal layar yang menjadi ikon kerajaan yang dipilih rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Mustahak

Persetujuan mengenai lambang parti di kertas undi mustahak, kata penganalisis, kerana kebanyakan pengundi memilih berdasarkan parti disebabkan calon kerusi negeri tidak begitu dikenali umum.

Kemenangan dalam pilihan raya negeri ditentukan oleh gabungan politik yang bersama dari segi lambang, mesej dan pembahagian kerusi, kata penganalisis.

Keputusan PBS menggunakan lambang lamanya bertujuan menghidupkan semula jenama parti itu sebagai pejuang autonomi wilayah, ketika isu itu menjadi perhatian utama dalam kalangan rakyat Sabah, kata ketua penerangan parti Joniston Bangkuai.

“Ia juga menunjukkan pendirian kita. Kita bukan dalam Perikatan Nasional dan kita bukan lagi komponen Barisan Nasional. Kita parti yang mesra dengan BN dan PN tetapi kita berdiri sendiri,” kata Bangkuai, yang juga wakil rakyat Kiulu.

Keputusan itu juga dibuat atas permintaan ahli dan penyokong parti yang mahu menegaskan kebebasan serta perjuangan PBS menuntut autonomi, tambahnya.

“Kami yakin rakyat ingat dan kenal lambang itu kerana kami parti politik Sabah yang paling lama bertahan.”

PBS ditubuhkan pada 1985 tidak sampai dua bulan sebelum pilihan raya dan menang mengalahkan kerajaan negeri yang ketika itu diterajui oleh Berjaya di bawah pimpinan Haris Salleh. Ia kemudian pilihan raya semula pada 1986, dan seterusnya pada 1990 dan 1994.

Ia bagaimanapun hilang majoriti dalam masa dua minggu sebelum sempat membentuk kerajaan negeri susulan wakil rakyatnya lompat parti. Pada 2002, PBS menyertai BN dan menamatkan era pembangkang di Sabah sehinggalah pilihan raya umum ke-14 yang lalu. PBS keluar BN selepas gabungan itu tumbang pada Mei 2018.

Warisan dan Presidennya Mohd Shafie Apdal akan berdepan cabaran besar parti lama di Sabah pada PRN, hujung September ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid , 26 Ogos, 2020.

Warisan juga mencadangkan kepada parti-parti politik yang bersekutu dengan untuk menggunakan lambang kapal layar parti itu, yang menjadi simbol sebuah kerajaan pimpinan parti negeri.

Dalam pilihan raya yang akan disertai banyak parti politik – PN, BN, Parti Cinta Sabah (PCS), dan Parti Demokratik Liberal (LDP) – lambang yang satu akan membantu Warisan dan rakan-rakannya lebih dikenali.

“Lebih penting sekarang bagaimana kita boleh tunjukkan kemampuan kita untuk bersatu di bawah satu bumbung dan di bawah satu logo,” katanya, seperti dipetik dalam satu laporan media baru-baru ini.

Shafie berkata penggunaan satu logo itu dapat memastikan ada kejelasan untuk rakyat mengundi calon pilihan mereka.

Perkara itu sehingga ini masih dibincangkan dalam PKR, kata seorang pemimpin parti, kerana ada dalam kalangan pemimpin negeri yang mahu parti itu menggunakan lambangnya sendiri.

PKR, parti Semenanjung yang masuk Sabah, dalam pertimbangan menggunakan bendera parti asal negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid , 26 Ogos, 2020.

“Kami pernah bertanding guna lambang sendiri sebelum ini, sejak pilihan raya kecil Likas (pada 2000) dan menang,” kata seorang pemimpin PKR negeri yang enggan dinamakan

“Lagi pula kita bukan menyertai secara rasmi mana-mana gabungan kerana Warisan bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan. Jadi ada yang merasakan lebih baik kita guna lambang sendiri. Tetapi belum ada keputusan muktamad.”

Media melaporkan pimpinan PKR Sabah dalam mesyuarat pada 20 Ogos lalu memutuskan menggunakan lambangnya sendiri bertanding dalam pilihan raya negeri bulan depan.

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin pula berkata partinya terbuka kepada idea bertanding atas lambang tunggal namun mengaku ada perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan.

“Ada yang merasakan bukan masalah guna lambang roket kerana pernah menang sebelum ini. Tetapi rundingan masih berjalan dan belum ada keputusan.”

Warisan sudah membina reputasinya sepanjang dua tahun sebagai pemerintah, menjadikan lambangnya itu dikenali dalam kalangan rakyat, kata penganalisis politik Dr Jeneri Amir.

“Apa yang penting ialah semua parti bertolak ansur dan menggunakan lambang itu. Penting juga untuk mereka bersetuju atas pengagihan kerusi supaya tidak bertembung antara satu sama lain,” katanya.

Parti Bersatu Sabah antara parti yang mahu menggunakan lambang dan bendera sendiri pada PRN September ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid , 26 Ogos, 2020.

Biarpun belum ada keputusan, perbezaan pandangan mengenai lambang tunggal agak kecil jika dibandingkan dengan perbalahan dalaman atau terbuka dalam kalangan pembangkang.

“Dalam pembangkang tidak boleh selesai siapa yang bersama dalam gabungan dan siapa akan tanding kerusi mana,” kata Chan.

“Ada Bersatu, Umno Sabah, Parti Cinta Sabah. Ada Perikatan, BN Sabah, dan Gabungan Sabah. Kita tidak tahu siapa masuk mana. Kelam kabut.

“Calon ketua menteri pun tidak boleh setuju.

“Saya percaya Warisan dan sekutunya lebih bersatu. Sekurang-kurangnya kami ada ketua iaitu Shafie,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai hari pengundian di Sabah, selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Penamaan calon ditetapkan pada 12 September manakala pengundian awal pada 22 September.

Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan selepas Shafie menasihati Yang Dipertuan Negeri Juhar Mahiruddin supaya membubarkan DUN pada 30 Julai lalu, susulan ada usaha merampas kerajaan negeri melalui percaturan politik. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen