Kejatuhan ringgit akibatkan kerugian wang lebih besar, kata Dr Mahathir


Bede Hong

Dr Mahathir Mohamad berkata di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, rizab Bank Negara Malaysia menyaksikan pengurangan nilai sebanyak AS$39.6 bilion dari 2013 hingga 2015 pada majlis makan malam mengumpul dana di Bangi Golf Resort malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Disember, 2017.

DR MAHATHIR Mohamad berkata Malaysia kehilangan lebih banyak wang daripada kejatuhan nilai ringgit berbanding kerugian urus niaga forex yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) hampir 30 tahun lalu.

Perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini dan kini pemimpin pembangkang berkata rizab BNM menyaksikan pengurangan nilai sebanyak AS$39.6 bilion dari 2013 hingga 2015, dan ini berlaku semasa pentadbiran Najib.

“BNM melaporkan kerugian pada AS39.6 bilion, iaitu RM160 bilion, jauh lebih besar daripada kerugian forex, yang mereka (Putrajaya) cuba menyalahkan saya,” kata ketua Pakatan Harapan (PH) itu kepada kira-kira 600 hadirin pada majlis makan malam mengumpul dana di Bangi Golf Resort malam tadi.

Dalam laporan tahunannya, BNM mencatatkan rizab antarabangsanya pada RM441.9 bilion (AS$134.97 bilion) pada 2013.

Menjelang 2015, rizab menurun kepada RM409.1 bilion (AS$95.3 bilion). Tahun lepas, bank pusat itu melaporkan jumlah sebanyak RM423.9 bilion (AS$94.5 bilion).

Bagi 2013, kadar pertukaran adalah RM3.27 bagi setiap dolar AS. Ia jatuh kepada RM4.44 November lalu, paras terendahnya sejak krisis kewangan Asia. Ringgit sejak itu semakin baik kepada RM4.09 yang ditutup semalam.

Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap individu yang dikaitkan dengan kerugian forex berdasarkan hasil laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

RCI mengesyorkan Dr Mahathir, bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim dan bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop disiasat kerana jenayah pecah amanah.

Dr Mahathir memberitahu penyokong PH malam tadi Najib tidak menyentuh kerugian yang disebabkan oleh penyusutan nilai ringgit.

“RCI berkata saya bersekongkol dengan Anwar untuk menyembunyikan kerugian dan kami melakukan jenayah. Tetapi sebenarnya, kita tidak tahu sejauh mana kerugiannya.

“Ini hanya satu cara bagi mereka untuk menyeret saya ke mahkamah, mensabitkan kesalahan supaya saya tidak bertanding (pada Pilihan Raya Umum ke-14). Sekarang apa yang halal sudah menjadi haram dan haram sudah menjadi halal.

“Mencuri wang sekarang sudah menjadi halal dan kerugian kewangan yang berlaku, di mana wang yang tidak dimasukkan ke dalam akaun kami kini pula haram.”

Dr Mahathir merujuk kepada RM2.6 bilion yang didakwa dicuri daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang masuk ke akaun bank peribadi Najib dan dikatakan Najib sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Bekas perdana menteri yang menjadi fokus serangan semasa Perhimpunan Agung Umno k-71 yang berakhir semalam, berkata Najib melihatnya sebagai ancaman sebenar.

“Saya tidak boleh berhenti terlibat dalam politik. Pemimpin Umno terus meminta saya melakukan sesuatu, yang akhirnya menjadi Bersatu,” katanya, merujuk kepada parti yang dibentuknya tahun lalu.

“Selepas kami membentuk Bersatu, kami berjaya mendaftarkan 150,000 ahli. Ini yang menakutkan Najib.

“Jadi mereka percaya sebelum kita bertanding (dalam pilihan raya umum), cara paling mudah bagi mereka adalah dengan mencantas ketuanya. Jadi, memandangkan beliau menganggap saya ketua, jadi tumpuan diberikan kepada saya.

“Mereka juga menganggap sejak saya dilantik sebagai pengerusi PH, mereka mesti mencantas saya supaya Pakatan jatuh.

“Itulah harapan Najib. Bagaimanapun, saya berharap dan percaya walaupun saya tidak berada di sini lagi, Pakatan masih boleh menang. “

Naib Presiden Amanah, Husam Musa, yang turut hadir memberitahu penyokong bahawa cubaan mengheret Dr Mahathir ke mahkamah berhubung kerugian forex akan memberi kelebihan kepada Pakatan.

“Dr Mahathir bukan orang biasa. Beliau adalah sebuah institusi. Untuk membicarakannya, akan memakan diri BN sendiri.

“Jika kita memenangi pilihan raya, keutamaan kita… melalui proses undang-undang dan kehakiman yang sewajarnya adalah untuk mendakwa penjenayah yang dikaitkan dengan 1MDB, terutamanya MO1,” kata Adun Salor itu.

“Tetapi jika kita tidak menang, jika Najib meneruskan perkara RCI ini, beliau akan menggali lubang kuburnya sendiri. Saya tidak nampak Dr Mahathir didakwa kerana ini akan mempengaruh pendapat umum (terhadap BN),” kata Husam.

Forum yang dimoderator oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution itu, menerima pelbagai soalan daripada penyokong termasuk mengenai perancangan PH terhadap perkhidmatan awam  sehinggalah kepada strategi untuk memperolehi sokongan penduduk luar bandar.

Gabungan berkenaan malam tadi juga berjaya mengumpul lebih RM100,000, termasuk RM21,000 daripada lelongan lapan potret pemimpin pembangkang.

Bidaan tertinggi yang diterima ialah potret Dr Mahathir, yang dijual dengan harga RM3,500 kepada Bersatu Kelantan. Potret Anwar pula terjual dengan harga RM2,000. – 10 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sudahlah Mahathir. 22 tahun tipu rakyat, hari ini nak klentong lagi?

    When you left in Oct 2003, the ringgit became bananas: the currency depreciated 38% - worst if you had not pegged it to 3.80. Forex reserves $40b.

    We may dislike/hate Najib, but the ringgit has only lost 12% under his watch.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ju bur · Ulasan

    • You want to catch new crook but protested when they want to catch old crook. Just because he is your new old boss? For us, to be principled, the people demand old and new crooks to be brought to justice.


      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ju bur · Ulasan