Pakatan tikam diri hentikan subsidi, akui ahli Parlimen


Chan Kok Leong

Bekas timbalan menteri kesihatan daripada PH, Dr Lee Boon Chye berkata PH silap apabila tidak fokus kepada isu seperti gaji dan kemiskinan ketika gabungan itu mentadbir negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) melakukan “politik bunuh diri” apabila memotong subsidi dan melaksanakan perubahan dengan terlalu perlahan, kata dua wakil rakyat gabungan itu pada satu forum online, malam tadi.

“Pemotongan subsidi kepada golongan miskin adalah tindakan bunuh diri. Kami mahu berjimat tetapi akhirnya menjejaskan kelangsungan politik kami,” kata Dr Lee Boon Chye pada program online anjuran Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor (KLSCAH) itu.

Forum online itu bertajuk “The Way Forward: What’s the next phase of political development”.

Dr Lee yang juga ahli Parlimen Gopeng disokong oleh bekas menteri PH untuk belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Kami fokus kepada Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rome, bila sepatutnya kami usahakan tentang kesaksamaan gaji dan kemiskinan.

“Wujud juga terlalu banyak rasa tidak percaya antara rakan kerjasama politik,” kata ahli Parlimen Muar itu.

“Kami juga mahu berjimat dalam tempoh dua tahun pertama sebelum membukanya bagi tiga tahun berikutnya (penggal pemerintahan). Tetapi itu tidak berlaku,” kata Syed Saddiq, merujuk kepada keruntuhan kerajaan PH selepas 22 bulan mentadbir negara.

Bekas pemimpin Bersatu itu berkata PH juga bergerak terlalu perlahan dalam melakukan perubahan.

Menggunakan Undi18 sebagai contoh, Syed Saddiq berkata Kabinet mengambil masa setahun untuk mempersetujuinya.

“Asyik ditangguhkan saja.

“Perkara sama berlaku bagi perubahan pembiayaan parti politik. Saya buat pembentangan yang kemudiannya dkaji oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

“Tetapi ia ditangguhkan. Perkara sama berlaku kepada had dua penggal untuk perdana menteri dan penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN.

“Kita ada wang dan kapasiti, tetapi kita terlalu lambat. Perubahan itu sepatutnya berlaku lebih cepat,” katanya.

Bagaimanapun, PH ada pencapaian yang kecil, kata Dr Lee.

“Ada Undi18, iaitu pendaftaran automatik pengundi dan kami juga mengubah cara pilihan raya kecil diadakan di mana Suruhanjaya Pilihan Raya bukan untuk memenangkan kerajaan.

“Kami juga mengambil beberapa langkah anti rasuah seperti pengisytiharan harta oleh ahli Parlimen, GIACC dan media lebih bebas dalam tempoh 22 bulan itu,” kata bekas timbalan menteri kesihatan itu.

Satu lagi kesilapan PH ialah cuba bersaing dengan Barisan Nasional berkenaan isu kaum.

“Kita tidak akan boleh jadi lebih Melayu berbanding Umno, atau lebih Islam daripada PAS atau lebih Cina daripada MCA. Akhirnya, kita perlu ada satu gabungan dengan polisi berdasarkan prinsip, bukannya kaum,” kata Dr Lee. – 25 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen