Parti anak muda atau undi untuk calon muda?


WACANA tentang keperluan mewujudkan parti berasaskan orang muda semakin rancak, terutama apabila timbul desas-desus bahawa sahabat saya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikatakan akan menubuhkan satu parti berasaskan orang muda.

Saya menyokong sebarang usaha memperkasakan orang muda negara ini lebih-lebih lagi usaha memberikan ruang kepada orang muda untuk menerajui tampuk kepimpinan.

Akan tetapi idea bagus ini tidak boleh lari daripada semakan realiti semasa dan persoalan apakah organisasi seperti ini ada daya tahan. Kita harus akur soal penubuhan parti lebih dari sekadar soal hasrat. Ia juga soal pengurusan, pengekalan dan strategi.

Misalnya, sekiranya parti baru itu menetapkan satu had umur, katakanlah 35 tahun, berapa ramaikah orang muda yang telah berpengalaman menerajui organisasi kepartian dapat membantu membangun parti baru itu?

Bagaimana pula jika peneraju-peneraju parti telah melangkaui had umur dan terpaksa meninggalkan parti sebelum parti itu tegap berdiri?

Saya ada terbaca cadangan tidak semestinya perlu ada had umur. Kalau begitu bagaimana boleh parti orang muda itu betul-betul berasaskan orang muda?

Jika dikatakan yang muda itu pada ideologi parti, maka apakah pula ideologi muda itu dan bezanya dengan ideologi lain?

Sebagai seorang yang mahu melihat orang muda menerajui negara, saya tidak sanggup melihat satu hasrat baik kecundang di pertengahan jalan hanya kerana kurang penelitian sebelum langkah dimulakan.

Mungkin kita perlu menelusuri apakah sebab musabab semakin semarak keinginan orang muda untuk memiliki organisasi politik khusus buat mereka. Kalau dicermati ada beberapa perkara yang boleh dikatakan pencetus kepada hasrat itu.

Bosan melihat orang tua memperkecil-kecilkan orang muda akan tetapi mereka sendiri tidaklah lebih baik. Lelah melihat politik orang tua sekadar politik bertelagah. Mengulang-ulang perkara sama dalam politik dan tiada usaha baru yang segar. Jurang generasi yang membawa kepada jurang pemahaman tentang realiti yang dihadapi orang muda.

Semua itu dirasakan berpunca daripada kurangnya peluang diberikan kepada orang muda untuk menerajui kepimpinan. Sehingga timbul idea bahawa jalan keluarnya adalah menubuhkan parti berasaskan orang muda sendiri. Dengan matlamat agar orang muda dapat menawan dan memurnikan politik daripada kerosakan-kerosakan dinosaur politik. Akan tetapi idea dan hasrat itu sendiri tidak terlepas dari semakan realiti yang telah saya sebutkan di atas.

Saya ingin mencadangkan satu lagi cara. Satu kesatuan dalam kalangan orang muda segenap bangsa untuk memberikan tekanan kepada pemain-pemain politik sedia ada. Tekanan memaksa mereka berubah atau musnah. Pemain-pemain politik hanya memahami bahasa angka. Sokongan dibuktikan dengan undi.

Bayangkan apa akan berlaku sekiranya orang muda seluruhnya bersedia untuk memberikan undi hanya kepada orang muda, tanpa mengira parti?

Gelombang itu akan membuatkan mana-mana parti yang gagal mengetengahkan pemimpin muda dan masih bergayutan pada pemimpin purba, berdepan sebuah kekalahan.

Ini akan memaksa semua parti yang tidak mahu memberi ruang kepada orang muda menilai kembali amalan kebiasaan mereka.

Gelombang sebegini boleh menggugat kebiasaan politik sedia ada dan beransur-ansur mengubah muka bentuknya.

Bersediakah orang muda bersatu melangkaui segala sempadan dan undi muda saja? – 25 Ogos, 2020.

* Edry Faizal Eddy Yusof adalah Adun Dusun Tua (Selangor) dan ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen