Apa ada dengan nama? 


Zaim Ibrahim

Pemandangan bandaraya George Town Pulau Pinang pada waktu malam. Terdapat usaha untuk menukar nama bandar raya berkenaan ke nama asalnya Tanjung Penaga.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

SEJARAWAN dan badan hak Melayu Islam mula mendesak penjajaran semula sejarah yang didakwa diselewengkan oleh penjajah, ketika siri bantahan terhadap rasisme yang sistemik meletus di serata dunia.

Mereka berkempen menuntut nama bandar seperti George Town di Pulau Pinang dan mercu tanda seperti Bukit St Paul di Melaka digantikan kepada nama asalnya iaitu Tanjung Penaga dan Bukit Melaka.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight tempat-tempat ini ditukar namanya selepas British menduduki Pulau Pinang pada 1786, sebelumnya Portugis menjajah Melaka pada 1511.

Tetapi bagi badan masyarakat Serani di Melaka, pergantian nama itu menafikan sejarah dan warisan mereka di Malaysia.

Menurut mereka, pada minggu pertama setiap Disember, masyarakat Portugis Melaka mengadakan upacara khas di Bukit St Paul, dan pertukaran nama itu akan menjejaskan budaya mereka selama-lamanya.

Pensyarah media dan sejarah Ahmad Murad Merican adalah antara penggerak kempen petisyen menukar George Town kepada Tanjung Penaga dan Butterworth kepada Bagan tuan Kechil.

Beliau juga banyak menulis mempersoalkan amalan menggunakan unsur penjajah bagi nama jalan tetapi tidak menggunakan nama tokoh tempatan.

“Apabila orang putih menjajah kita, salah satu mereka buat ialah tukar nama asal contohnya, Tanjung Penaga ditukar kepada Georgetown dan Bukit Melaka kepada Bukit St Paul,” kata profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Kalau mereka boleh tukar sewenang-wenangnya, kenapa kita tidak? Kita bukan mahu robohkan gereja atau kawasan di situ. Kita mahu ia kembali kepada nama asal,” tambahnya.

Mengganti nama era penjajah bukan perkara baru malah dilakukan di beberapa negara yang pernah dijajah, seperti India dan China, katanya, untuk membuang naratif tinggalan penjajah.

Beliau memberi contoh bagaimana Calcutta diganti kepada Kolkata sementara Bombay kepada Mumbai, serta Beijing ditukar nama daripada Peking.

Tugu Francis Light di Pulau Pinang disimbah cat merah.– Gambar @antifaM, 26 Ogos, 2020.

“Tukar nama bandar kepada bandar asal adalah proses dekolonisasi, menyah-penjajah. Kita nak bentuk satu naratif yang berbeza – iaitu menolak naratif kolonial.

“Selepas sesebuah negara merdeka maka institusi negara itu, nilai-nilai, sejarah perlulah dikembalikan kepada yang asal iaitu menentang naratif kolonial,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Idea menukar nama penjajah kepada nama asal juga hangat selepas pembunuhan warga kulit hitam di Amerika Syarikat, George Floyd pada Mei lalu.

Floyd dicekik sampai mati oleh anggota polis di Minnesota dan kematiannya mencetuskan rusuhan dan bantahan jalanan di serata Amerika malah merebak ke Eropah.

Kematiannya Floyd mendedahkan isu rasisme, penindasan, dan perhambaan warga kulit hitam di serata dunia.

Di Malaysia, jelas Murad, tempias episod itu kena pada tugu Francis Light di Padang Kota Lama, Pulau Pinang yang disimbang cat merah dan gerakan mengubah nama bandar dan mercu tanda tinggal penjajah.

“Di Malaysia kita agak lambat walaupun gerakan itu berlaku dan  membuahkan hasil seperti Teluk Anson ditukar kepada Teluk Intan dan Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang,” katanya.

Kempen menggantikan nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka diterajui oleh sayap pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Kempen “Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah” itu digerakkan sempena sambutan bulan Merdeka. Ia meliputi siri jelajah ke tempat-tempat yang masih menggunakan nama asing, kata ketuanya Soufi Anual.

“Bagi aktiviti jelajah tersebut, Pemuda ISMA telah mengenal pasti beberapa tempat, khususnya kawasan bersejarah di seluruh negara yang masih menggunakan nama yang diberikan penjajah dan bukan nama asal tempat tersebut yang memiliki khazanah kegemilangan sejarah dan tamadun Melayu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Warisan kami macam mana pula?

Bagaimanapun Presiden Portugis Eurasian Melaka Malaysia, Michael Singho tidak bersetuju nama Bukit St Paul ditukarkan kerana bagi mereka ia akan memadamkan sejarah dan identiti mereka sendiri.

Katanya, nama itu boleh juga dilihat sebagai kepelbagaian warisan yang ada di Malaysia, dan bukan semata-mata simbol penjajahan.

“Konsep kolonial atau ditakhluk oleh penjajah, itu semua daripada elemen sejarah yang telah berlaku. Ia kini menjadi menjadi titik-titik sejarah.

“Kalau nak padam semua peninggalan penjajah, tak bermaksud perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau berharap warisan sejarah seperti Bukit St Paul dilihat sebagai aset bersama.

“Dari segi pelancongan pula, Bukit St Paul dikenali seluruh dunia. Namanya sangat terkenal di luar negara. 

“Di Melaka, kita ada Melayu, Cina, India dan juga kaum Portugis dan Belanda.

“Lagi pun, nama Bukit St Paul tidak lansung mengganggu elemen sejarah kaum lain terutama elemen kemelayuan Melaka,” jelasnya.

Bagi bekas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MKPKK) Kampung Portugis Jacinta Lazaroo, nama Bukit St Paul sangat dekat dengan penganut Kristian Katolik di kampung itu.

“St Paul ialah santo bagi penganut Kristian Katolik. Kita mahu nama bukit ini dikekalkan kerana ia lambang kepada agama kami.

“Setiap tahun pada minggu pertama bulan Disember, kita akan melakukan majlis ibadat di Bukit St Paul. Jika ia ditukarkan, kami akan kecewa,” katanya. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen