Umno untung puak Azmin masuk Bersatu, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Bersatu menerima bekas ahli PKR pelbagai kaum dari puak bekas timbalan presiden yang dipecat Mohamed Azmin Ali.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Ogos, 2020.

KEPUTUSAN Bersatu membuka keahlian bukan Melayu akan lebih menguntungkan Umno dalam pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik.

Mereka percaya Umno akan lebih untung dalam pengagihan kerusi majoriti Melayu dan seterusnya mendapatkan undi Melayu, selepas Bersatu menerima bekas ahli PKR pelbagai kaum dari puak bekas timbalan presiden yang dipecat Mohamed Azmin Ali.

“Ini akan menguntungkan Umno. Apabila Bersatu ada ahli dari kaum lain, ia tidak akan bertanding sepenuhnya di kawasan Umno. Ia juga boleh bertanding di kawasan MIC dan MCA.

“Ini tidak akan merugikan Umno, sebaliknya Bersatu yang kena mengalah. Sebelum ini dia bersaing dengan Umno, sekarang bersaing dengan MIC dan MCA juga,” kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Azmin dan kumpulannya mengumumkan menyertai Bersatu, enam bulan selepas dipecat dan keluar PKR susulan kemelut dalaman parti yang membawa kepada jatuhnya pentadbiran Pakatan Harapan pada hujung Februari lalu.

Dengan penyertaan Azmin dan sembilan ahli Parlimen bekas PKR yang lain, Bersatu kini sah mempunyai 31 wakil di Dewan Rakyat.

Menurut penganalisis, kemasukan Azmin akan beri kekuatan kepada Bersatu sebagai kuasa berunding dalam Perikatan Nasional.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Ogos, 2020.

Azmin mendakwa kumpulan penyokongnya, yang bergerak melalui empat badan masyarakat, dianggarkan berjumlah lebih 200,000 orang di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia.

Dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada Sabtu, Muhyiddin memberi jaminan proses kemasukan pengikut Azmin akan disegerakan manakala Bersatu akan merombak struktur parti untuk mendirikan sayap ahli bersekutu bukan Melayu dan pribumi.

Pada masa ini, Perlembagaan Bersatu menerima bukan Melayu dan bukan Bumiputera sebagai ahli bersekutu, yang bagaimanapun tidak menikmati hak sebagai ahli biasa.

Hanya ahli biasa yang terdiri daripada Melayu dan Bumiputera yang ditakrifkan sebagai pribumi diberi hak untuk mengundi dan bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti serta dikira sebagai korum dalam persidangan parti.

“Bersatu akan jadi parti pelbagai kaum, bukan lagi ancaman kepada Umno atau PAS,” tambah Awang Azman, yang banyak membuat kajian tentang budaya politik Melayu.

Sokongan Melayu

Dalam pada itu, pensyarah politik Mohamad Tawfik Yaakub berpendapat Umno boleh menggunakan kelebihannya berbanding Bersatu untuk menarik sokongan lebih ramai orang Melayu.

“Kalau Bersatu letak banyak calon di kerusi bukan Melayu, Umno akan manipulasi isu untuk kepentingan politik mereka kerana Umno lihat Bersatu sebagai pesaingnya.

“Umno akan ambil kesempatan sebagai parti Melayu dominan untuk raih sokongan besar dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Jelas Tawfik, Azmin terpaksa menyertai Bersatu kerana beliau dan ahli Parlimen lain yang bersama serta penyokong mereka yang bukan Melayu, yang sebelum ini bersama dalam PKR yang pelbagai kaum, tidak mempunyai wadah lain.

“Ini usaha selamatkan karier politik Azmin dan penyokongnya. Sebab itu Muhyiddin kata akan wujud sayap baru untuk ahli bukan Melayu.

“Ini juga usaha jaga hati bagi memastikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional utuh dan tidak terancam,” tambahnya.

Bersatu dilihat bukan lagi ancaman kepada Umno dan PAS kerana menjadi parti pelbagai kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Ogos, 2020.

Bersatu akan lebih kuat

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar sebaliknya melihat kemasukan Azmin dan kumpulannya ke dalam Bersatu akan mengukuhkan parti itu, selepas terbelah dua susulan krisis dalaman dengan bekas pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dan pengikutnya yang tersingkir dari parti kini menubuhkan parti baharu yang diberi nama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Kemasukan Azmin akan beri kekuatan kepada Bersatu sebagai kuasa berunding dalam Perikatan Nasional,” katanya, merujuk kepada rundingan kerusi antara Bersatu dan dua lagi parti Melayu Umno dan PAS dalam gabungan kerajaan.

“Ia memberi suntikan dan mengukuhkan kembali kedudukan Bersatu,” tambahnya. – 25 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen