RM3.47 juta dibelanja untuk selenggara 2 helikopter polis


Kamles Kumar

POLIS membayar RM3.47 juta untuk menyelenggara dua helikopter tidak digunakan selama 3 tahun, dedah laporan audit terbaharu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 (Siri Satu), kerajaan membuat bayaran penyelenggaraan dua helikopter (9M-PHA dan 9M-PHF) dari 2017 hingga 2019 selepas ia tidak digunakan masing-masing sejak Ogos 2014 dan November 2013.

“Laporan audit mendapati ini berlaku kerana syarat kontrak hanya membenarkan diskaun untuk maksimum tiga helikopter ketika itu. Ini menyebabkan kerugian RM3.47 juta,” menurut laporan berkenaan.

Dapatan lain turut mendedahkan bahawa polis membuat lebihan bayaran RM105,875 untuk menyelenggara 10 buah helikopter bagi 19 bulan sedangkan jumlahnya hanya RM28,875.

Kontrak tersebut menetapkan jika helikopter tidak aktif selama lebih dari enam bulan, pasukan polis akan mendapat pengurangan 25% dari pembayaran bulanan.

Enam dari 10 helikopter tidak aktif kerana tidak memenuhi jam penerbangan namun bayaran penuh tetap diteruskan.

Kontrak ditandatangani pada Julai 2014 pada kos RM17 juta. Ini bagi menyelenggara 10 helikopter jenis Ecureuil AS 355 F2/N di pangkalan udara polis Subang, Kuching dan Kota Kinabalu.

Hasil pemeriksaan juga mendapati polis telah membayar lebihan RM2.7 juta untuk menggantikan alat ganti fotografi.

“Pembayaran untuk penggantian alat ganti fotografi berjumlah RM2.70 juta, yang lebih daripada RM2.49 juta atau lebih tinggi 1,185% berbanding had siling berjumlah RM209,964,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan bahawa masih ada peralatan bernilai RM1.05 juta dengan vendor walaupun kontraknya berakhir pada Mei 2019.

Antara saranan audit adalah untuk mengenakan denda lewat kepada syarikat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar kontrak. – 24 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen