POLIS melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki yang menjadikan sebuah rumah sewa di Sri Menanti, Parit Jawa, di Muar, sebagai makmal pemprosesan dadah, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata suspek, seorang penganggur berusia 57 tahun, ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bikit Aman dalam serbuan kira-kira jam 9.45 malam, Rabu lalu.
“Polis merampas beberapa jenis dadah disyaki heroin seberat 11,736 gram, heroin base (7,657 gram), syabu (3,070 gram) dan serbuk putih bahan kimia (279,269 gram) serta peralatan memproses dadah dengan nilai anggaran RM707,714,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.
Beliau berkata polis turut menyita empat kenderaan iaitu dua jenis Volkswagen serta masing-masing satu Proton Persona dan Honda Civic, barang kemas dan wang tunai, RM47,800 dengan nilai rampasan keseluruhan RM313,300.
Zaharudin berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis opiate dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, suspek kini direman enam hari sehingga 2 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurutnya, polis sedang mengenal pasti rangkaian pengedaran berkenaan serta saki-baki anggota sindiket itu. – Bernama, 24 Ogos, 2020.
Komen