Azmin tipu tuduh rakyat akan mati sebab Pakatan, kata bekas menteri


Mohd Farhan Darwis

Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan PH enggan menyalur peruntukan yang cukup untuk menangani pandemik ketika berkempen bagi PRK Slim, semalam. – Gambar Facebook, 24 Ogos, 2020.

MOHAMED Azmin Ali melanggar batas apabila mendakwa lebih banyak rakyat akan mati sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus jadi kerajaan yang mengendalikan pandemik Covid-19, kata dua bekas menteri pentadbiran yang tumbang pada Februari lalu.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata Azmin, yang juga bekas menteri PH, berbohong apabila mendakwa kerajaan PH enggan menyalur peruntukan yang cukup untuk menangani pandemik.

Katanya, kenyataan Azmin semasa berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam adalah fitnah dan tidak berasas.

“Masa kempen PRK Slim semalam beliau cakap nasib baik PH tak memerintah lagi, kalau tak lagi ramai orang mati sebab Covid-19.

“Itu satu tuduhan amat melampau, tidak ada bukti dan tidak berasas.

“Beliau sebut masa PH memerintah, saya sebagai menteri kewangan tak nak beri wang cukup untuk tangani Covid-19. Ini satu fitnah dan pembohongan kerana ia adalah sebaliknya,” kata Lim, dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sidang media disertai bekas menteri kesihatan Dr Dzulekfly Ahmad.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan menegaskan ketika pemerintahan PH, kerajaan waktu itu menyalurkan peruntukan berjumlah RM20 bilion bagi pakej rangsangan ekonomi.

“Kalau boleh tunjuk bukti, tunjuk sekarang dan jangan buat tuduhan liar dan buat tuduhan kata kalau PH memerintah ramai rakyat Malaysia akan mati sebab Covid-19.

“Ini tidak adil kepada Dr Dzulkefly, kerana beliau menjalankan tugas dengan baik sekali,” katanya, merujuk kepada bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly.

Dzulkefly dalam sidang media sama juga menempelak Azmin, dan menegaskan tiada kematian direkodkan ketika beliau menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami rasa sangat kecewa dengan pembohongan yang diulang-ulang dan diharap akan dipercayai rakyat ini.

“Untuk rekod, pada 24 Febuari ketika saya meninggalkan kementerian, kita ada 22 kes, 24 kes positif tapi 22 kes sudah pulih dan 2 kes yang masih di wad, bukan di ICU, hanya di wad dan tiada kematian sehingga kami meninggalkan Putrajaya.

“Apa juga tuduhan dan kepalsuan yang cuba diulangi Perikatan Nasional khususnya menteri Miti ini adalah pembohongan yang rakyat perlu tahu adalah sangat dahsyat,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Katanya, keadaan juga disahkan terkawal oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kerana PH menanganinya dengan baik melalui persiapan awal.

Semalam, semasa berkempen di Slim, Azmin yang disahkan menyertai Bersatu sehari sebelumnya mendakwa ramai rakyat akan mati dijangkiti Covid-19 jika PH masih memerintah kerana Lim sebagai menteri kewangan enggan mengeluarkan peruntukan.

“Kita telah bagi peluang kepada PH 22 bulan untuk perintah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri… tetapi tuan puan pun tahu, PH sudah gagal.

They failed as government (Mereka gagal sebagai kerajaan). 

“Dia (PH) tidak mampu untuk membela rakyat. Kalau kita menghadapi Covid-19 dalam PH lebih banyak orang Malaysia mati bukan kerana Covid tapi kerana PH,” katanya.

Semasa PH mentadbir di Putrajaya, Azmin adalah menteri hal ehwal ekonomi.

Kenyataan Azmin itu malam tadi dibidas oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga bekas menteri pertahanan, yang menyifatkan bekas timbalan presiden PKR itu tidak ubah meludah ke muka sendiri.

“Azmin datang ke Slim dia maki kerajaan PH kerana gagal. Dialah sebabnya, dia jadi menteri 22 bulan. 

“Kita datang maki bapa kita, malu ke tidak, dia 22 bulan jadi menteri dia datang maki kerajaan dulu,” katanya. – 24 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen