Kejujuran dua anak muda dan sejarah logo 'Tongue'


Zainal Rashid Ahmad

SEORANG rakan bertanya pada saya: “Sekiranya John Pasche mencipta logo Tongue untuk artis Malaysia dan kemudian nilainya menjadi ratusan juta ringgit di pasaran, apakah pelajar kolej itu akan diberi royalti jutaan ringgit?”

Soalan ini timbul apabila saya bercerita nengenai logo lidah terjelir yang direka Pasche pada tahun 1969 atas permintaan Mick Jagger bagi kegunaan band Rolling Stones.

Jagger mengenali Pasche, seorang pelajar di London School of Art melalui buletin yang diedarkan pihak kolej. Buletin itu menyebarkan kepada pelajar seni mengenai tawaran Rolling Stones untuk mencipta logo.

Usul ceritanya mudah: Jagger mahu mendapatkan pelajar seni untuk merekabentuk bentuk logo Rolling Stones.

Sejak ditubuhkan pada 1962, Rolling Stones tidak memiliki logo. Ditambah pula dengan status bandnya yang belum lagu masyhur pada 1969, Jagger hanya mampu menawarkan projek itu kepada pelajar seni.

Lebih mudah lagi untuk difahami: Rolling Stones belum sohor. Jadi hanya mampu menawarkan projek kepada pelajar kolej kerana kekangan bajet.

Setelah Pasche melukis beberapa rekaan, Jagger memilih logo Tongue kerana menyukainya. Alasan Jagger mudah: logo itu memiliki ciri-ciri rebel dan menepati imej Rolling Stones.

Alasan Pasche lagi mudah. Logo Tongue akan terus hidup selagi Jagger menyanyi dengan “lidah terjelir”. Imej Jagger dan logo Tongue akan sinonim.

Setelah bersetuju, Jagger membayar £50 sebagai upah kepada Pasche; pelajar berusia 26 tahun. Satu urusan bisnes tanpa dokumen perjanjian dan dibayar secara sekali gus.

Sejarah selepas Tongue meletup

Logo Tongue meletup pada tahun 1971 apabila album Sticky Finger mencanak popular dan imej Rolling Stones menerobos seluruh dunia.

Nilai band Rolling Stones dan logi Tongue mendadak naik dan mencapai nilai komersil yang sangat tinggi.

Segala macam hasil jualan berkaitan logo Tongue memberikan pulangan ratusan juta pound pada Rolling Stones selama lima dekad.

Sebelum bernilai ratusan juta pound dan Rolling Stones menjadi bilionair, Jagger sejak awal bersikap jujur.

Dia mencari Pasche sebaik saja Tongue mencapai nilai komersial pada 1972. Jagger memberikan £200 ribu sebagai “hadiah” atau bonus kepada Pasche.

Sememangnya jumlah itu bersifat hadiah. Sejak awal tiada perjanjian royalti antara Jagger pada Pasche dalam isu logo Tongue.

Jagger dan Pasche sedar; pada tahun 1969 - urusniaga jual beli logo Tongue sangat amatur. Tiada perjanjian royalti.

Tetapi Jagger orang “berjiwa besar”. Dia menghargai kreativiti Pasche dan membayar nilai tambah sebagai “penghormatan kreatif”.

Malah, selepas itu hubungan Pasche dan Rolling Stones menjadi akrab. Pasche bekerjasama dalam banyak kerja seni bersama band sohor itu sebaik tamat belajar dan band London itu pula kekal popular selama lima dekad.

Tongue diundi logo paling berpengaruh

Pada 2018, satu undian popular diadakan dan logo Tongue menerima pengiktirafan umum sebagai logo paling berpengaruh.

Ini setelah 48 tahun Pasche dan Jagger bersetuju mengenainya dan Tongue telah memberikan ratusan juta pound pendapatan kepada Rolling Stones.

Walaupun urusniaga asalnya sangat amatur; anak muda bernama Jagger dan Pasche saling menghormati.

Jarak usia mereka berbeza hanya dua tahun (Jagger lahir 1943 dan Pasche lahir 1945); namun sikap Jagger danPasche menjadi teladan pada dunia mengenai sikap “saling berkongsi kejayaan”.

Pasche seterusnya melalui kehidupan berprofil tinggi sebagai pengarah seni dan Jagger menjadi lagenda rock and roll selama enam dekad bersama Rolling Stones.

Dalam undian itu juga, logo Tongue mendahului logo imej siluet Che Guevara yang yang berada pada kedudukan kedua dan Hard Rock Cafe tangga ketiga.

Asas ceritanya - kita berbalik pada kisah Jagger dan Pasche.

Apakah akan ada semangat saling menghormati dan kejujuran sekiranya kes logo Tongue berlaku di negara ini?

Saya sendiri ada pengalaman: Dua kali cerpen saya dipilih sebagai Komsas Bahasa Malaysia bagi Tingkatan Dua dan Tingkatan Lima.

Nilai royalti dua cerpen itu selama sepuluh tahun mencapai sekitar RM20 ribu. Tapi saya hanya menerima cek bernilai RM457. Pemilik hakcipta menyebut: Itu saja royaltinya yang ada.

Akhirnya, syarikat itu telah bankrap pada tahun lalu. Tiada apa-apa yang boleh dituntut lagi. Ironinya - cerpen saya masih dibaca hingga tahun ini.

Tapi pemilik hak cipta atau “Jagger Malaysia” hanya memberikan nilai “sampah” pada penulisnya. Walaupun bacaan itu dijadikan teks sekolah menengah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Saya menerimanya. Bukan aneh; sebab ini cara Malaysia. – 23 Ogos, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen