Kami berusaha menangi hati orang Melayu Pulau Pinang, kata KM


Khoo Gek San

DAP perlu berusaha keras menepis tanggapan parti itu anti Islam dan Melayu bagi meraih sokongan Melayu Pulau Pinang, kata ketua menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2020.

KERAJAAN Pulau Pinang yang dipimpin DAP menyasarkan sokongan daripada lebih 50 peratus kerusi majoriti Melayu di negeri ini kerana menyedari mereka tidak boleh bergantung kepada sokongan bukan Melayu untuk kekal berkuasa, kata ketua menterinya, Chow Kon Yew.

Chow, bagaimanapun, mengakui bahawa DAP perlu melakukan beberapa tindakan kerana DAP harus melawan persepsi palsu bahawa parti itu adalah ancaman terhadap Islam dan hak-hak Bumiputera.

“Kami faham bahawa kami tidak boleh bergantung pada sokongan bukan Melayu dan non-Muslim selama-lamanya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini, kami bekerjasama dengan parti lain dalam gabungan politik (PH) dan kami melihat Malaysia yang berbeza muncul, dan kami memahami bahawa kami tidak semestinya bergantung pada jenama DAP untuk mencapai matlamat kami,” katanya.

Chow berkata DAP telah dilabel sebagai ancaman terhadap Islam dan Bumiputera oleh parti-parti Melayu sejak 50 tahun yang lalu.

Oleh itu, tidak dapat dielakkan jika orang Melayu memiliki persepsi buruk terhadap parti itu, dan DAP berusaha keras untuk meningkatkan sokongan masyarakat.

“DAP bahkan pernah mendirikan cawangan di kawasan peneroka sebelum ini tetapi hasilnya tidak memberangsangkan. Jadi pada tahun 80-an, DAP mula bekerjasama dengan parti-parti Melayu untuk mendapatkan sokongan masyarakat,” kata Chow.

Begitu juga, katanya, Umno pun ketika ini bekerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional dan menyokong Perikatan Nasional.

Chow berkata, pakatan antara parti telah menjadi kebiasaan dalam sejak 20 tahun kebelakangan ini, dan kedua-dua MN dan PN adalah bukti pentingnya gabungan tersebut.

Chow berkata Pulau Pinang juga ditadbir oleh gabungan yang sama, Pakatan Harapan, dengan masing-masing parti berbeza untuk menarik sokongan orang Melayu dan bukannya bergantung pada roket DAP. – 23 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen