Projek mega pengangkutan Pulau Pinang tetap diteruskan, kata KM


Khoo Gek San

Pulau Pinang berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk.– Gambar The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2020.

PULAU Pinang akan meneruskan projek lebuh raya dan terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion walaupun terdapat rintangan kerana ia adalah janji utama Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu, kata ketua menteri negeri itu.

Chow Kon Yew memberitahu The Malaysian Insight bahawa projek mega yang menghubungkan pulau dan Seberang Perai bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pulau itu, adalah janji yang kepada rakyat Pulau Pinang pada pilihan raya lalu.

“Kami berjanji kepada rakyat dalam pilihan raya lalu bahawa kami akan teruskan projek-projek yang boleh memberikan mereka pelbagai pilihan.

“Sekiranya mereka menyokong pembangunan Pulau Pinang yang berterusan, maka mereka harus sokong kami.

“Sebaliknya, jika mereka percaya bahawa projek-projek tersebut mempunyai unsur-unsur rasuah atau jika digunakan untuk menipu rakyat, maka mereka tidak seharusnya sokong kami,” kata Chow.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng awal bulan ini dituduh meminta suapan daripada Zenith Consortium Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dianugerahkan  kontrak untuk melaksanakan projek kontroversi tersebut.

Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP, didakwa meminta 10 peratus keuntungan daripada projek yang disiapkan dan sebagai balasannya, beliau akan membantu Zenith Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk melaksanakan projek mega itu.

Lim mengaku tidak bersalah dan menyifatkan tuduhan itu sebagai “balas dendam politik”.

Chow memberitahu The Malaysian Insight bahawa projek lebuh raya dan dasar laut telah sembilan tahun dalam pembinaan dan ia terus dilaksanakan dengan beberapa peringkat.

Projek terowong dan lebuh raya akan diteruskan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2020.

Daripada proses pembidaan projek hingga yuran perundingan serta dua petak tanah yang dibayar kepada pemaju sebelum projek itu dimulakan, Chow berkata projek itu telah menjadi topik politik hangat selama beberapa tahun dan kerajaan negeri mempunyai kewajipan untuk menjelaskan projek itu kepada masyarakat secara telus. 

Antara masalah yang sering diketengahkan ialah pembayaran berkaitan tanah sebelum kajian mengenai projek itu dijalankan bahkan telah diselesaikan kepada Zenith Consortium, yang telah diberikan kontrak untuk membina terowong bawah laut dan tiga laluan akses utamanya dengan harga RM851 juta.

Chow berkata, pembinaan pertama dari tiga laluan itu sedang dijalankan tetapi telah menghadapi banyak masalah teknikal, termasuk terpaksa memindahkan kubur seorang isteri orang kenamaan sehingga kerajaan negeri harus membayar pampasan berjuta-juta ringgit.

“Kontraktor juga terus diserang, menyebabkan bank hilang kepercayaan dan menolak pinjaman.

“Kontraktor dan kerajaan negeri menghadapi banyak kesulitan. Syarikat juga memerlukan waktu untuk penstrukturannya, dan kerajaan negeri akan memberikannya ruang untuk menyusun semula dana dan mencari pelabur baru,” katanya.

Sekiranya kerajaan negeri mendapati bahawa kontraktor tidak dapat menjalankan tugas, maka kerajaan negeri boleh membatalkan kontrak tersebut, katanya.

“Kontrak ini adalah untuk melindungi kepentingan negara. Sekiranya kontraktor menghadapi kesukaran seperti keperluan untuk menyusun semula dan mencari pelabur baru, kita dapat memberi mereka masa untuk menyelesaikannya, maka kita dapat meneliti syarikat itu dan melihat apakah mereka mampu menyelesaikan kontrak,”

Kontraktor kini sedang menyiapkan laporan kelayakan, yang dijadualkan untuk diserahkan kepada pemerintah negeri pada akhir tahun ini.

Sebelum laporan kelayakan diterima dan projek diluluskan, negeri tidak akan membayar sebarang bayaran kepada kontraktor. – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen