Pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang tidak boleh tangguh, kata KM


Khoo Gek San

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong baru-baru ini berkata rancangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditangguhkan sementara menunggu kajian NASP siap pada 2023. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2020.

CHOW Kon Yeow menggesa Putrajaya membenarkan kerajaan negeri meneruskan rancangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata kerja-kerja pembesaran sepatutnya bermula Jun lalu, untuk meningkatkan kapasiti penumpang di PIA daripada 6.5 juta kepada 12 juta.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong baru-baru ini berkata rancangan tersebut perlu ditangguhkan sementara menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang dijangka siap pada 2023.

Menurut Chow, Kementerian Pengangkutan sebelum ini telah bersetuju bahawa pembesaran PIA adalah perlu.

“Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah setuju untuk naik taraf lapangan terbang, dan mereka mesti tunaikan janji sebab ini keperluan yang mendesak,” kata Chow kepada The Malaysian Insight.

“Kajian NASP hanya akan siap pada 2023, sedangkan rancangan menaik taraf lapangan terbang sudah diluluskan. Kami menggesa kerajaan persekutuan beri pengecualian kepada PIA.”

Hujung Mei lalu, Chow berkata beliau menjangkakan rancangan pembesaran PIA mungkin tertangguh selama 6 bulan hingga 1 tahun susulan penularan wabak Covid-19 dan kemerosotan industi penerbangan.

Namun, penangguhan sehingga 2023 terlalu lama, katanya.

“Kalau mereka tetap mahu menunggu kajian siap, kita hanya boleh mencadangkan supaya PIA diberi pengecualian.

“Perkara ini sangat penting.”

Kerja-kerja pembesaran PIA akan menelan kos RM800 juta, dan akan meningkatkan jumlah penumpang kepada  12 juta. Pembesaran itu juga membolehkan PIA menampung sejumlah 21 pesawat komersial pada satu-satu masa berbanding sebanyak 13 pesawat pada ketika ini.

Rancangan pembesaran PIA diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 oleh kerajaan PH. Kerja-kerja pembesaran dijadualkan bermula pada Jun dan siap pada 2024.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang yang juga bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menyifatkan penangguhan rancangan itu sebagai politik balas dendam terhadap DAP yang mentadbir negeri itu.

Ditanya mengenai perkara ini, Chow berkata: “Pandangan masing-masing tak semestinya sama.” – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen