DAP tidak boleh bersandar pada kemarahan rakyat, kata Chow


Khoo Gek San

DAP perlu seiring dengan perkembangan semasa dan melipat gandakan perjuangan bagi meraih sokongan padu rakyat, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020.

DAP tidak boleh hanya bersandar kepada kemarahan pengundi terhadap kerajaan persekutuan jika mahu kekal berkuasa, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ini dapat dilihat selepas tiga penggal berturut-turut parti itu mentadbir Pulau Pinang, tambah beliau.

Chow dilantik sebagai ketua menteri pada Mei 2018, selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Putrajaya dari Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, DAP perlu seiring dengan perkembangan semasa dan melipat gandakan perjuangan bagi meraih sokongan padu rakyat.

“Prestasi kerajaan negeri perlu cemerlang. Paling penting, rakyat terima dasar kita dan lihat kemajuan negeri,” katanya.

DAP dan sekutu dalam PH hanya bertahan selama 22 bulan memegang Putrajaya selepas digulingkan Perikatan Nasional (PN).

Semasa menjadi kerajaan persekutuan, Kabinet PH sering dikritik kerana kurang pengalaman, susulan kebanyakan menteri dan timbalan menterinya baru pertama kali pegang jawatan.

PH menang dalam pilihan raya umum 2018, menumbangkan pemerintahan 60 tahun BN, berikutan kemarahan pengundi terhadap dakwaan rasuah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Selepas PH digulingkan, sentimen itu tercetus semula tetapi kali ini membabitkan bekas menteri kewangan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang didakwa terbabit rasuah dan salah guna kuasa berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Lim didakwa melakukan perbuatan tersebut semasa beliau menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Dalam hanya empat hari, DAP berjaya mengutip sumbangan RM2.9 juta, dan hampir RM4 juta dalam tempoh seminggu melalui kempen solidariti, untuk membantu Lim membayar wang ikat jamin. Kempen kutipan derma “RM10 seorang” itu dilancarkan pada 8 Ogos.

Lim berkata pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik, dan tidak ada sesen pun yang diterima untuk projek bernilai RM6 bilion yang dianugerahkan melalui tender terbuka.

Isteri Lim, Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon juga didakwa. Chew didakwa atas pengubahan wang haram, manakala Phang atas tuduhan rasuah

Chow berkata DAP tidak boleh selamanya bergantung kepada situasi seperti ini untuk melawan kerajaan persekutuan.

Sebaliknya, DAP perlu memenangi hati rakyat melalui pencapaian di Pulau Pinang, dengan membiarkan hasil cemerlang parti itu mentadbir negeri menjadi bukti.

“Mereka yang sokong DAP sekarang mungkin tidak selama-lamanya akan sokong parti.

“Kita sudah tiga penggal tadbir negeri, tak boleh terus berharap kepada kemarahan rakyat terhadap kerajaan persekutuan.

“Buat sementara waktu ia membantu, tetapi apa yang lebih penting  ialah rakyat melihat prestasi kerajaan negeri.

“Walaupun kerajaan persekutuan bukan bawah kawalan kita, kerajaan negeri mesti terus menjaga keperluan rakyat dan memajukan negeri.

“Kita akan raih sokongan rakyat dengan melindungi kepentingan mereka,” tambah Chow. – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen