POLIS Arizona, Amerika Syarikat mengeluarkan rakaman video pada Jumaat menunjukkan seorang lelaki tidak bersenjata yang teresak-esak menangis dan merayu supaya dilepaskan ditembak mati polis.
Anggota polis yang menembaknya dibebaskan daripada dakwaan membunuh.
Ia adalah kejadian terbaru dalam siri pembunuhan dilakukan polis yang mencetuskan dakwaan jenayah kepada pegawai penguatkuasa di AS.
Philip Brailsford yang menembak mati Daniel Shaver di sebuah hotel pada Januari 2016, dibebaskan daripada dakwaan membunuh tanpa niat serta menyebabkan kematian oleh juri pada Khamis menurut laporan USA Today.
Rakaman video kamera dada Brailsford didedahkan kepada umum selepas penghakiman dikeluarkan menunjukkan Shaver, 26, bapa dua anak melutut mematuhi arahan polis dan berkata “Jangan tembak saya” dan “Tolong jangan tembak.”
Shaver yang kelihatan kepenatan kemudian dilihat mencapai belakangnya, mungkin untuk membetulkan seluarnya sebelum Brailsford melepaskan lima tembakan menggunakan senjata api AR-15.
Tidak seperti kes berprofil tinggi lain yang melibatkan pembunuhan rakyat Amerika berkulit hitam, Brailsford dan Shaver berkulit putih.
Laporan polis dipetik media tempatan mengatakan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan seorang lelaki bersenjata api berada di tingkat lima hotel tersebut.
Pegawai yang tiba di bilik hotel Shaver di Mesa, pinggir daerah Phoenix menemuinya bersama seorang wanita, yang didakwa balunya, Laney Sweet, sebagai rakan sekerja yang melawat Shaver bersama seorang lagi rakan lelaki yang kebetulan keluar daripada hotel itu untuk menelefon isterinya.
Shaver didapati tidak bersenjata api ketika ditembak, tetapi pegawai polis menemui peluru di bilik hotelnya, yang digunakan dalam kerjanya sebagai pekerja pemusnah serangga. Dia berada di hotel itu kerana tugasan kerja.
Jabatan polis tempatan mempertahankan tindakan Brailsford mengatakan pegawai itu bertindak selari dengan latihan yang diterima.
Tetapi Mark Geragos, peguam mewakili keluarga Shaver menyifatkan kejadian itu sebagai “hukuman mati” menurut media tempatan, AZcentral. “Sistem kehakiman mengecewakan Daniel (Shaver) dan keluarnya,” kata Geragos.
Keputusan penghakiman itu dikeluarkan pada hari sama seorang lagi bekas anggota polis Michael Slager dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana membunuh seorang lelaki kulit hitam Walter Scott- keputusan yang dianggap sangat jarang berlaku kerana menurut aktivis, anggota polis seringkali diberikan kekebalan ketika bertugas. – AFP, 9 Disember, 2017.
Komen