Surat terbuka kepada menteri Khairuddin At-Takiri


SAYA terpanggil untuk mengutuskan surat terbuka ini buat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang dikasihi.

Tular di seluruh negara ketika ini bahawa anda mengabaikan kuarantin 14 hari di rumah dan mengunjungi Parlimen pada waktu kuarantin.

Saya selaku rakyat biasa yang mungkin dianggap kasta terendah amat kecewa dengan tindakan sedemikian. Mungkin undang-undang negara kita hanya terpakai buat rakyat biasa saja pada pandangan orang kenamaan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu juga pernah tular foto menteri Perikatan Nasional dan orang kenamaan yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP), yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

Di kala rakyat yang di bawah ini kehilangan pekerjaan dan juga mungkin dikenakan denda yang tinggi kerana keterlanjuran mereka, pihak yang di atas bersenang-lenang membayar denda yang mungkin dianggap sedikit dan ada yang mempersendakan rakyat.

Cukuplah.

Keadilan mesti tertegak tidak kira siapa pun anda. Menteri ini harus sedar akan kesilapan beliau dan tidak menunding jari terhadap pihak lain yang membocorkan rahsia umum ini.

Saya juga sempat menemani seorang rakan aktivis pergi membuat laporan polis terhadap menteri ini kerana beliau amat kecewa dengan tindakan yang dilakukan. Beliau terpaksa berkuarantin 14 hari di rumah ketika bapanya meninggal dunia di Kedah.

Saya juga ingin berpesan buat menteri ini – tidak kiralah keputusan swab test anda negatif, anda wajib berkuarantin di rumah.

Kita perlu mengambil iktibar daripada peristiwa Kluster Sivagangga yang umum telah tahu.

Akhir sekali saya ingin mengingatkan, rakyat sedang memerhati. – 21 Ogos, 2020.

* Nur Rahim ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen