SEORANG pemimpin muda Melayu DAP menuntut sayap pemuda parti tersebut di Sarawak memohon maaf atas tindakan memasang tulisan Cina di papan nama jalan di negeri tersebut.
Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor Marina Ibrahim berkata tindakan Pemuda DAP Sarawak itu merosakkan harta benda awam dan boleh mengundang salah faham.
“Sebaiknya pemuda DAPSY Sarawak meminta maaf atas tindakan mereka.
“Tindakan anda bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai vandalisme tetapi telah mencetuskan salah faham dikalangan pelbagai rakyat Malaysia.
Katanya, Pemuda DAP Sarawak perlu faham bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan menolak penjelasan bahawa nama jalan dalam bahasa Cina itu untuk kemudahan pelancong.
“Untuk apa risau akan pelancong? Salah satu tujuan melancong adalah memahami budaya dan bahasa masyarakat tempatan.
“Pastinya mereka boleh membaca dan dalam masa sama fahami bahasa kebangsaan sesebuah negara yang unik dan berbeza di setiap negara,” katanya di Twitter yang turut disalin ke Facebook.
Beliau mengulas kontroversi yang timbul apabila tersebar gambar menunjukkan aktivis pemuda parti di Sarawak memasang tulisan Cina di papan tanda nama jalan di sekitar negeri itu.
Gambar yang disiarkan di Facebook menunjukkan pelekat dengan tulisan bahasa Cina itu dipasang di papan tanda Jalan Green Hill, Jalan Main Bazaar dan Lebuh Wayang di Kuching.
Kenyataan Marina tersebut bagaimanapun disambut dengan sinis oleh kalangan pengguna media sosial yang meragui keikhlasan pemimpin muda DAP tersebut.
“Ini mesti kenyataan takut hilang undi Melayu,” kata pengguna Twitter Posey @poseymuezza.
Ada juga kalangan pengguna media sosial itu juga mempertahankan tindakan tersebut yang membangkitkan bahawa Sarawak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan.
“Sarawak guna bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi,” kata @rice___wine.
Tindakan Pemuda DAP Sarawak itu juga dikecam anggota pentadbiran Sarawak, antaranya seorang menteri muda Sarawak Abdul Rahman Junaidi.
Timbalan menteri hal ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching utara itu berkata tindakan itu dianggap vandalisme dan melanggar peraturan kerana tidak mendapat kebenaran dewan bandaraya.
Selain itu, perbuatan tersebut juga melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, katanya seperti dilaporkan Bernama. – 21 Ogos, 2020.
Komen