Mahkamah tolak permohonan Musa cabar pembubaran DUN Sabah


Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Musa Aman untuk mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri membubarkan DUN Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan Musa Aman untuk mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri membubarkan dewan undangan negeri (DUN).

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim membuat keputusan menolak permohonan itu pagi ini.

Musa yang juga bekas ketua menteri dan 32 Adun lagi memohon kebenaran semakan kehakiman, mendakwa Gabenor Juhar Mahiruddi tidak diberikan nasihat sebaiknya untuk membubarkan DUN.

Peguam Tengku Fuad Ahmad berkata Musa dan kumpulannya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini.

Musa dan 32 Adun berkenaan menamakan Juhar sebagai responden pertama, manakala ketua menteri Shafie Apdal sebagai responden kedua. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri Sabah dinamakan sebagai responden ketiga dan keempat.

Permohonan itu difailkan susulan pengumuman Shafie pada 30 Julai bahawa Juhar perkenan untuk DUN dibubarkan berkuatkuasa serta-merta bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari.

Tindakan Shafie itu sehari selepas Musa berkata beliau ada sokongan 33 Adun untuk membentuk kerajaan negeri.

PRN Sabah ditetapkan pada 26 September. – 21 Ogos, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen