KOREA Utara mengecam Presiden Amerika Syarikat kerana mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, mengulangi gambaran “lelaki nyanyuk” kepada pemimpin paling berkuasa dunia itu dalam kenyataan dikeluarkan pada Sabtu menerusi media negara itu.
Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un berulang kali menghina satu sama lain malah mengeluarkan ugutan perang beberapa bulan kebelakangan ini, ketika ketegangan semakin memuncak berpunca daripada ujian senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
Terbaru, negara dipulaukan dunia itu menyertai kecaman sejagat ke atas keputusan presiden AS berkaitan Baitulmaqdis, menyifatkannya sebagai “tindakan gopoh dan berniat jahat”.
“Mempertimbangkan fakta yang seorang lelaki tua nyanyuk akalnya secara terbuka menggesa kemusnahan sebuah negara berdaulat di PBB, tindakan ini tidaklah mengejutkan”, kata jurucakap kementerian luarnya seperti dipetik media negara itu, KCNA.
“Tetapi tindakan itu jelas membuktikan kepada seluruh dunia siapa sebenarnya yang memusnahkan keamanan dan keselamatan dunia, siapa pariah dan pemberontak dalam komuniti antarabangsa,” katanya menggunakan gelaran “pariah dan pemberontak” yang sering digunakan kepada Korea Utara.
Pengisytiharan Trump pada Rabu untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke sana mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia, malah sekutu dan musuh AS juga tidak bersetuju dengan tindakan itu.
Trump sebelum ini memberi amaran tentang “kemarahan dan dendam” Pyongyang, juga memberitahu Majlis Keselamatan PBB yang Washington akan “memusnahkan Korea Utara sepenuhnya” jika diperlukan untuk melindungi dirinya dan sekutunya.
Trump menggelarkan Kim “lelaki roket” dalam ucapan itu- Pyongyang sebelum itu menguji peluru berpandu didakwa mampu mencapai AS- beberapa hari kemudian Kim bertindak balas dengan mengeluarkan kenyataan peribadi menggelarkan Trump sebagai lelaki tua nyanyuk.
Menurut kenyataan terbaru KCNA itu, Korea Utara “mengecam sekerasnya” tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota, dan menyuarakan “sokongan dan solidariti sepenuhnya kepada rakyat Palestin dan Arab yang berjuang mendapatkan hak sah mereka”.
“AS akan dipertanggungjawabkan untuk semua kesan kerana tindakan gopoh dan berniat jahat ini,” katanya lagi. – AFP, 9 Disember, 2017.
Komen