Pergelutan Umno Sabah beri kelebihan kepada Warisan, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Umno Sabah disifatkan bunuh diri selepas Bung Mokhtar yang terpalit skandal rasuah dilantik sebagai pengarah pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2020.

PERPECAHAN dalam Umno Sabah berhubung pelantikan Bung Mokhtar Radin sebagai pengarah pilihan raya negeri untuk Barisan Nasional (BN) bulan depan akan memberi kelebihan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan), kata beberapa penganalisis politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, jika isu panglima pilihan raya BN Sabah gagal diselesaikan, moral ahli Umno akan luntur menjelang tempoh kempen rasmi, yang ditetapkan bermula pada 12 September.

Penganalisis politik Borneo Dr Jeniri Amir berpendapat gabungan Warisan bersama DAP, PKR dan Upko akan berdepan laluan mudah sekiranya Umno Sabah tidak menyelesaikan kemelut dalamannya.

“Jika perkara ini berterusan, tidak diselesaikan segera, Warisan mampu mengambil kesempatan untuk memberi gambaran bahawa, adakah rakyat Sabah mampu memberi mandat kepada pemimpin dan parti yang tidak dapat selesaikan masalah dalaman.

“Sudah pasti saya percaya, Warisan dan pemimpin kerajaan sekarang akan memanipulasi semaksimum mungkin kelemahan yang dihadapi oleh Umno ketika ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum yang lalu, rakyat mahu Umno menjadi sebuah parti politik yang pemimpinnya tidak mementingkan diri sendiri.

“Rakyat mahukan Umno yang betul-betul dapat menjadi parti yang boleh diharapkan, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak bercakaran. 

“Rakyat mahukan pemimpin bersedia untuk berkorban dan bertolak ansur,” tambahnya.

Bekas pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata tindakan Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan membuat sidang media membantah keputusan presiden Umno yang juga pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak wajar.

Ia membuka ruang kepada musuh untuk melihat Umno lemah, katanya.

Dalam sidang medianya pada Selasa, Rahman berkata BN seperti “bunuh diri” apabila melantik Bung Moktar untuk mengetuai kempen parti dalam pilihan raya negeri, termasuk menentukan pengagihan kerusi dan calon ketua menteri.

Mereka tidak mahu Bung Moktar mengetuai kempen BN nanti kerana ahli Parlimen Kinabatabangan itu sedang berdepan dengan masalah peribadi, merujuk kepada pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya.

Bung Moktar, 60, berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah hampir RM2.8 juta yang didakwa dilakukan semasa beliau memegang jawatan pengerusi Felcra. Kes itu sedang dibicarakan di mahkamah di Kuala Lumpur.

Zahid bagaimanapun mempertahankan keputusannya.

Sementara itu, pensyarah politik di Universiti Teknologi Mara Sabah (UiTM), Rahezzal Shah Abdul Karim juga berpendapat, pergelutan dalam Umno akan menyukarkan parti itu dalam proses rundingan kerusi kelak. 

Bagaimanapun katanya masih terlalu awal untuk mengesan sejauh mana parahnya perpecahan dalaman Umno menjelang pilihan raya negeri, yang akan diadakan dalam masa lima minggu.

“Isu ini akan mewujudkan kekeliruan antara parti lain yang sedang berunding dengan BN, sudah tentu akan sedikit sebanyak menjejaskan proses rundingan (pembahagian kerusi). 

“Sekarang ini semuanya bergantung secepat mana kemelut ini dapat diselesaikan pucuk pimpinan Umno,” kata beliau.

Bukan jalan mudah

Walaupun ada kelebihan bagi Warisan, pensyarah kanan politik ekonomi UiTM Sabah Firdausi Suffian berkata ia tidak bermakna Warisan boleh mengambil jalan yang mudah sebaliknya perlu memastikan calon yang mewakilinya boleh menang.

Tindakan ahli MT Umno Abdul Rahman Dahlan membuat sidang media membantah keputusan pelantikan Bung Mokhtar Radin membuka ruang kepada musuh untuk melihat Umno lemah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2020.

“Dalam mana-mana parti, ‘kem’ itu wujud tetapi Umno perlu melihat dalam landskap yang lebih besar. Secara rasional, jika BN mahu menang mereka perlu bersama dan bersatu kerana daripada segi pemerhatian, Warisan dilihat lebih selesa.

“Tetapi, Warisan tidak boleh mengambil mudah sebaliknya perlu meletakkan calon yang benar-benar tepat. Itu paling penting,” katanya.

Dalam pada itu, Jeniri menambah semua tokoh utama dalam Umno Sabah tiada pilihan selain bertolak ansur untuk bergerak maju.

“Bung Mokhtar, Rahman Dahlan, dan (bekas ketua menteri) Musa Aman perlu duduk bersemuka agar satu formula terbaik dapat dikemukakan agar mereka mampu menang,” katanya.

Jelasnya, membiarkan konflik ini berpanjangan akan menghancurkan imej Umno di mata rakyat yang akan membuat pilihan nanti.

“Di sinilah kompromi amat penting, mereka tidak boleh bercakaran sesama sendiri kerana itu petanda dan ruang untuk mereka kalah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai hari pengundian di Sabah, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Penamaan calon ditetapkan pada 12 September manakala pengundian awal pada 22 September.

Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan selepas Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal menasihati Yang Dipertuan Negeri Juhar Mahiruddin supaya membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.

Beliau membuat nasihat itu beberapa jam selepas Musa mendakwa ada cukup sokongan untuk menggantikan kerajaan yang diterajui Shafie.

Sebanyak 73 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam pilihan raya Sabah nanti, termasuk 13 kerusi baharu yang diluluskan melalui persempadanan semula yang diwartakan tahun lalu. – 21 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen