ANCAMAN Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi terhadap slogan “Sarawak untuk Sarawak” membuktikan kerajaan tidak mahu memberikan kuasa autonomi kepada negeri ini, kata Pakatan Harapan (PH) Sarawak.
Selain itu, Zahid turut mengancam slogan “Sabah untuk Sabah.”
Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata, ancaman itu “bukti Umno menentang tuntutan penduduk Sarawak yang mahukan kuasa autonomi.”
Kenyataan PH Sarawak ini dibuat selepas mesyuarat di Kuching hari ini yang antaranya mengutuk ancaman Zahid yang dibuat pada Selasa lalu di Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 di Kuala Lumpur.
“Ini menunjukkan Umno cuba tunjuk angkuh terhadap Sarawak,” kata Chong.
Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ketua DAP itu berkata, isu ini tidak pula jadi masalah ketika Barisan Nasional (BN) negeri di bawah bekas Ketua Menteri Adenan Satem menggunakan slogan itu untuk kempen pilihan raya negeri sebelum ini.
Ramai pemerhati mengatakan slogan itu membantu BN Sarawak menang besar kerana pengundi mahu Adenan mulakan perbincangan mengenai hak autonomi Sarawak.
DAP, yang sebelum ini mendapat tempat di hati pengundi dalam dua pilihan raya lepas kalah setengah daripada kerusi yang mereka pegang sebelum ini.
Chong berkata, sekarang ini slogan itu dijadikan sebagai alat untuk menentang BN dan Umno pula kerana mereka (BN-Umno) tidak mahu memberi lebih kuasa kepada kerajaan negeri.
Malah, menurutnya, gabungan pemerintah itu mahu jadikan slogan itu sebagai ancaman jenayah pula.
Dalam pada itu PH menggesa BN Sarawak nyatakan pendirian berhubung tekanan Umno terhadap Sarawak itu, selain mempersoalkan sikap “diam diri” beberapa pemimpin BN negeri.
PH juga menggesa cadangan Ketua Menteri Abang Johari Openg menubuhkan segera pasukan petugas bagi berbincang dengan Zahid mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketika Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia memberi pandangan yang berlainan berhubung MA63 dan hak penduduk Sabah dan Sarawak, ramai pemimpin BN termasuk Abang Johari dengan mcepat mengutuk Pandikar.
“Bagaimanapun, bila Zahid keluarkan kenyataannya mengenai perjuangan penduduk Sarawak menuntut lebih autonomi, tiada langsung pemimpin BN berani bersuara. Adakah mereka takut disumbatkan ke dalam penjara?”
Katanya, Pandikar tidak ada kuasa eksekutif di luar Dewan Rakyat. Oleh itu, tiada siapa takut dengan beliau.
“Dalam masa sama, sebagai menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri, Zahid ada kuasa yang lebih besar, termasuk mampu mengarah menangkap mana-mana… membuatkan semua pemimpin BN Sarawak takut dengan Zahid, takut nak berlawan mulut dengannya,” kata Chong.
Mentaliti “hamba dan tuan” antara Umno dan BN Sarawak, “apa yang kita boleh harapkan dengan kononnya ‘perbincangan’ oleh BN Sarawak ini?”
Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini, jika PH menang dalam pilihan raya akan datang, mereka berjanji untuk “mendapatkan kuasa sepenuhnya” buat Sarawak termasuk hal pendidikan, kesihatan, perubatan secara penuh kepada negeri Sarawak.
“Kami akan jalan sendiri sekolah dan hospital.
“Najib Razak dan Zahid sedang main buli. Adakah BN Sarawak tahu atau tidak mereka sedang dibuli?” katanya. – 9 Disember, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan