Prinsip, maruah dan harga diri tunjang kekuatan Umno, BN


PENGKHIANATAN dan kecurangan adalah cabaran dan ujian biasa yang perlu kita lalui dalam perjalanan politik.

Namun saya yakin Umno dan Barisan Nasional akan berjaya menempuh cabaran ini.

Dua puluh tahun dahulu Umno telah berpecah kepada PKR. Namun kita telah bertahan dan terus berjuang.

Lima tahun dahulu kita telah berpecah kepada Bersatu. Namun kita terus istiqamah berjuang.

Dua tahun dahulu beberapa orang ahli Parlimen Umno telah lompat parti meninggalkan kita setelah kita kalah Pilihan Raya Umum ke-14 dan tidak lagi menjadi kerajaan.

Namun selepas itu kita telah bangkit kembali dan menang dalam semua pilihan raya kecil kebelakangan ini.

Kita telah berjaya mengharungi semua ini kerana kekuatan Umno dan Barisan Nasional di akar umbi yang tak lekang dek panas dan tak lapok dek hujan.

Dengan izin Allah, saya yakin kita akan terus berjaya menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang.

Apa-apa bentuk kerjasama perlulah ikhlas dan adil dan tidak memudaratkan diri kita sendiri.

Jika rakan kerjasama kita ego dan tidak sensitif kepada pandangan akar umbi kita, maka itu bukanlah sesuatu kerjasama yang baik.

Contohnya, jika ada orang mahu masuk rumah kita setelah rumah mereka runtuh dek diri mereka sendiri, dan kita baik hati memberikan mereka ruang untuk mereka berteduh, tetapi mereka mahu duduk dalam master bedroom, suruh kita masak masakan kegemaran mereka setiap hari, dan suruh anak-anak kita buat kerja dan basuh pinggan mangkuk mereka, dan suruh kita cat rumah kita dengan warna kegemaran mereka, dan minta kita pindah masuk ke bilik pembantu rumah di dapur dan sebagainya, adakah kita perlu ikut sahaja kehendak mereka?

Dan, jika tunang kita curang dan main kayu tiga dengan orang ini, perlukah kita mengikut sahaja kehendak mereka lagi?

Jika DAP kembali berkuasa akibat rumah kita berpecah, maka mereka inilah penyebab dan petualangnya.

Kita perlu berpegang kepada prinsip perjuangan, maruah dan harga diri.

Kuasa tidak berguna tanpa tiga perkara ini.

Pada prinsip, maruah dan harga diri inilah terletaknya sumber kekuatan Umno dan Barisan Nasional yang mendukung sokongan dan kepercayaan rakyat.

*Isham Jalil adalah Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen