Menteri PAS langgar SOP perlu dihukum tanpa kompromi


BEBERAPA laporan media menyebut Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurut Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menteri terbabit sudah melalui ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan didapati negatif pada 7 Julai susulan lawatan ke Turki. 

Bagaimanapun, sepatutnya walaupun hasil keputusan didapati negatif, Khairuddin perlu melalui kuarantin di rumah secara mandatori selama 14 hari. 

Namun pada 13 Julai, Khairuddin didapati turut berada di Parlimen dalam satu pengundian belah bahagi untuk mengenepikan speaker Dewan Rakyat, iaitu hanya selepas enam hari pulang dari Turki.

Adakah hanya kerana ingin mengundi bagi mendapatkan calon speaker Dewan Rakyat yang baharu maka keselamatan rakyat ekoran kemungkinan penularan kluster baharu pandemik Covid-19 diabaikan begitu sahaja?

Sebagai seorang menteri dan juga wakil rakyat, sepatutnya keselamatan awam khususnya dalam soal penyakit berbahaya Covid-19 ini diberi keutamaan dan dipastikan terkawal. Menteri harus tunjukkan teladan yang betul.

Perkara yang jelas di sini ialah, kehadiran Khairuddin ke Parlimen pada tarikh tersebut merupakan satu pelanggaran SOP Covid-19 yang mampu memberi bahaya kepada seluruh negara apabila pada waktu yang sama, ratusan ahli Parlimen dari seluruh negara berkumpul di Parlimen. 

Malah statistik Covid-19 juga menunjukkan ketika kunjungan Khairuddin ke Turki, negara tersebut mencatatkan 5,600 kes baharu dan 93 kematian dalam masa sehari.

Turki juga merekodkan sebanyak lebih 6,000 kematian akibat gejala Covid-19.

Pelanggaran SOP yang dilakukan oleh Khairuddin adalah amat serius dan wajar dihukum tanpa kompromi sebagaimana rakyat marhein yang didenda ribuan ringgit dan ada yang terus diheret ke mahkamah. 

Saya menggesa perletakkan jawatan sebagai menteri dan ahli Parlimen dilakukan oleh Khairuddin.

Ia dilihat sebagai satu langkah awal yang mampu meredakan kemarahan rakyat ekoran polemik “dua set undang-undang” yang sedang berlaku. – 20 Ogos, 2020.

* Edy Noor Reduan adalah aktivis blogger.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen