Pelajar keciciran jana pendapatan sedia perkhidmatan pandu pelanggan mabuk


Angie Tan

Kerajaan mengenakan undang-undang lebih keras terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol susulan banyak kemalangan melibatkan pemandu mabuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2020

STEVEN Lee melihat wujudnya peluang perniagaan ketika kerajaan mengumumkan hukuman yang lebih tegas terhadap pemandu yang minum arak.

Baharu berusia 20 tahun, Lee sedar pengunjung pub akan mencari jalan alternatif untuk pulang selepas bergembira di malam hari dan beliau mula menyusun rancangannya.

Pelajar keciciran kelahiran Seremban itu bersama sepupu dan beberapa rakannya mendapat idea menubuhkan AIDER.my yang menyediakan perkhidmatan pandu-pulang.

“Saya membaca berita yang kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pemandu yang minum, dan saya mendapat idea yang saya boleh menyediakan perkhidmatan pandu-pulang,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Perkhidmatan seperti ini tidak biasa di Malaysia tetapi satu kebiasaan di negara lain.

Lee bertanya kepada sepupunya sama ada beliau berminat dengan idea itu dan sepupunya kemudian meminta beberapa rakan lain untuk menyertai yang kemudiannya berakhir dengan sekumpulan enam orang untuk memulakan perniagaan mereka.

“Kamis semua pelajar, dengan yang paling muda berusia 15 tahun, tetapi kami semua sudah berhenti sekolah,” katanya, sambil menambah, ahli paling muda hanya dibenarkan berurusan dengan pelanggan kerana belum boleh memandu.

Dan mereka tidak menoleh ke belakang sejak memulakan perkhidmatan pada Julai lalu.

Apa yang dilakukan hanyalah membawa pelanggan pulang ke rumah dengan kereta mereka sendiri. Kemudian syarikat AIDER.my, akan menghantar pemandu untuk menjemput pemandu berkenaan pulang.

Lee berkata sambutannya positif.

“Secara purata kami mendapat sekitar 20 hingga 30 tempahan sehari. Jika hujung minggu, mungkin tambahan 60% hingga 70%.

“Kami berkolaborasi dengan beberapa bar. Jadi, kami bekerja hingga awal pagi. Biasanya hingga sekitar jam 2 pagi, tetapi kadang-kala hingga jam 3 pagi hingga 4 pagi,” katanya.

Lee berkata, pelanggan mungkin tidak boleh mendapatkan perkhidmatan e-hailing lewat malam dan lebih suka perkhidmatan pandu-pulang.

Sebilangan besar pelanggan menempah perkhidmatan mereka kira-kira dua jam lebih awal, dan Lee serta rakannya akan menentukan lokasi di mana mereka akan menjemput pelanggan.

“Pernah pelanggan begitu mabuk sehingga pengsan di lantai, dan kami memerlukan bantuan untuk mengangkatnya ke dalam kereta,” katanya.

Oleh itu, kata Lee AIDER.my mempunyai polisi pembayaran lebih awal.

“Harga kami adalah RM19 dalam radius 5km, dan RM3 bagi setiap kilometer di luar kawasan itu,” katanya.

Lee juga berkata Seremban mempunyai pasaran yang kecil dan mereka mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan ke Kuala Lumpur dan Johor.

“Buat masa ini, tempat minum masih perlu mengikuti prosedur operasi standard Covid-19 dan tidak boleh dibuka sehingga larut malam, tetapi kami percaya selepas sekatan itu ditarik balik, kami akan melihat peningkatan pendapatan,” katanya.

AIDER.my juga mengupah pemandu wanita untuk memenuhi permintaan pelanggan wanita bagi mengatasi isu keselamatan.

“Kami baru-baru ini mengambil 10 pemandu tambahan, di antaranya adalah dua wanita. Mereka bertugas memandu pelanggan wanita kerana wanita biasanya bimbang dengan individu tidak dikenali, terutama jika lelaki yang mengantar mereka pulang,” kata Lee.

Beliau berkata syarikat itu juga membuat saringan terhadap bakal pekerja untuk memastikan keselamatan pelanggan dan pemandu.

Lee berkata beliau sejak dahulu ingin membuka perniagaan sendiri ketika masih belajar, dengan rancangan awalnya untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan sebelum perkhidmatan pandu-pulang, yang menurutnya adalah pasaran lebih baharu.

“Ada banyak bercakap mengenai kebimbangan tiada kerja jika berhenti bersekolah, tetapi saya rasa ini bergantung kepada seseorang. Saya rasa jika anda berani bermimpi dan berusaha mendapatkannya, maka tiada apa yang mustahil,” katanya.

Berikutan beberapa kemalangan disebabkan pemandu mabuk, kerajaan baru-baru ini mencadangkan untuk meningkatkan hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol daripada maksimum 10 tahun penjara kepada 15 tahun, daripada denda maksimum RM20,000 kepada RM100,000, atau RM150,000 bagi kesalahan berulang, serta menggantung lesen memandu pesalah sehingga 20 tahun. – 20 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen