RM1.5 juta dihantar ke rumah Rosmah, kata saksi


Ravin Palanisamy

Bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menyerahkan RM1.5 juta kepada Rosmah Mansor pada 2017. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Ogos, 2020.

BEKAS pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menyerahkan RM1.5 juta kepada Rosmah Mansor pada 2017.

Wang tersebut dihantar ke kediaman Rosmah di Langgak Duta, katanya.

Saidi, saksi ke-17 pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah, berkata wang itu merupakan pembayaran kedua selepas isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu membantunya mendapatkan projek solar hibrid untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Semasa sesi soal balas, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Rosmah menyangkal dakwaan Saidi, dan berkata anak guamnya tidak menerima wang secara tunai.

Saidi kemudian berkata beliau menghantar dua beg berisi wang tunai RM1.5 juta ke rumah Rosmah pada 7 September 2017, melalui pemandu peribadinya, Shamsul Rizal Sharbini.

Shamsul Rizal meletakkan kedua-dua beg berkenaan di tepi sofa di ruang tamu rumah Rosmah, kata Saidi kepada mahkamah.

Saksi itu terlebih dahulu mengaku terdapat transaksi berjumlah RM1.5 juta dari akaun Maybank Islamik miliknya pada tarik berkenaan, yang kemudian dibawa ke rumah Rosmah.

Azrul: Jadi, kenapa kamu keluarkan RM1.5 juta pada 7 September 2017?

Saidi: Untuk diberi kepada Rosmah.

Azrul: Itu andaian kamu. Kamu tak nampak pun dia ambil.

Saidi: Ya, saya tidak nampak, tetapi saya hantar ke rumahnya. Pemandu saya letakkan dalam rumah Rosmah.

Azrul: Kenapa RM1.5 juta?

Saidi: Sebagai sebahagian daripada pembayaran.

Azrul: Kamu ada buka beg dan tunjukkan wang tunai pada Rosmah?

Saidi: Tidak.

Azrul: Kamu tahu apa jadi pada beg-beg itu lepas kamu tinggalkan rumahnya?

Saidi: Saya tak tahu. Macam mana saya nak tahu kalau saya dah keluar dari situ.

Pada ketika ini, Azrul mencadangkan bahawa Saidi mengeluarkan wang tersebut untuk perbelanjaan peribadi, dan kegunaan lain antara lain untuk perniagaan, membeli tanah, sumbangan kepada ibunya dan bayaran kepada adiknya untuk membina rumah.

Saidi tidak bersetuju, dan menegaskan RM1.5 juta yang dikeluarkan adalah untuk Rosmah, sambil menambah beliau menyimpan wang tunai di rumah untuk perbelanjaan lain.

Azrul kemudian bertanya sama ada Saidi disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan transaksi RM1.5 juta itu, dan saksit itu menjawab “ya”.

Bagaimanapun, Saidi berkata beliau tidak ingat mengenai butiran yang diberitahu kepada SPRM ketika ditahan. – 19 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen