Rekod Warisan diuji dalam PRN Sabah


Sheridan Mahavera

Warisan dan sekutunya yang terdiri daripada DAP, PKR dan UPKO dakwa banyak buat penambahbaikan selama dua tahun mentadbir Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2020.

DUA penduduk Sabah Lias Risun dan Osman Ador menceritakan dua kisah berbeza tentang kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan), dan naratif yang bertembung ini adalah kunci penentu kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 26 September ini.

Lias dari Kampung Karambunai di Sepanggar berkata kerajaan negeri membaiki jalan luar bandar yang selama ini diabaikan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Namun Osman dari Kampung Kelian di Tuaran berkata penduduk di kampungnya terpaksa mengorek duit sendiri untuk membaiki jalan kerana pegawai pihak berkuasa tempatan mendakwa kerajaan tiada peruntukan.

Cerita mereka ini mewakili dua naratif yang dimainkan oleh dua kuasa politik yang bertembung dalam pilihan raya negeri, antara Warisan dan sekutunya, dan Perikatan Nasional (PN).

Warisan dan sekutunya yang terdiri daripada DAP, PKR dan UPKO, mengutarakan naratif mereka sudah melakukan banyak penambaikan selama mentadbir dalam masa dua tahun lalu, dan banyak lagi yang boleh mereka lakukan jika rakyat memberi mandat sekali lagi.

PN sebaliknya mendakwa pentadbiran Warisan tidak membawa sebarang perubahan yang boleh dilihat atau dirasai.

Osman dan peniaga buah-buahan dan sayur di pasar basah Tamparuli mewakili sentimen ini. Kata mereka, hidup mereka tidak banyak berubah sejak Warisan mengambil alih pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal mohon DUN dibubarkan dengan Warisan cuba dapat mandat baharu daripada lebih 1.124 juta pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2020.

“Apabila kami minta pejabat daerah untuk baiki jalan berlubang di kampung, pegawai kata tiada wang,” kata Osman ketika ditemui di gerai tempat beliau berniaga sejak 18 tahun lalu.

“Jadi kami sama-sama kumpul duit, beli tar dan tampal sendiri lubang.”

Apabila pandemik Covid-19 memaksa ekonomi ditutup dan meranapkan pendapatan mereka, kerajaan Warisan menjanjikan bantuan kepada semua rakyat Sabah.

“Tetapi tiada bantuan yang datang. Kami hanya dapat makanan daripada kumpulan masyarakat dan bantuan tunai Prihatin,” kata Osman merujuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.

Lina Sanudin yang menguruskan gerai sayur di sebelahnya berkata dalam masa dua tahun lalu, pihak berkuasa tempatan memasang siling dan lampu di pasar yang berumur dua dekad itu.

“Tetapi lampunya malap dan hanya separuh yang menyala. Kipas pula kecil dan tidak sampai pada semua orang,” katanya.

Joniston Bangkuai, wakil rakyat Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata bantuan Covid-19 yang tidak meluas dan kurangnya pembangunan baharu adalah antara ciri pentadbiran Warisan.

Inilah yang berlaku walaupun Warisan berulang kali mendakwa ia mampu mentadbir Sabah lebih baik berbanding BN, yang dikatakannya dikuasai dan dipengaruhi oleh ketua politiknya di Semenanjung Malaysia.

“Ada juga beberapa keputusan patah balik seperti janji membatalkan empangan Kaidun, projek resort Tanjung Aru dan melantik ahli politik untuk mengetuai syarikat kerajaan,” katanya yang mewakili kerusi negeri Kiulu.

Zaman gemilang Sabah

Dalam beberapa bulan selepas Warisan mentadbir, ia mengumumkan beberapa inisiatif antaranya landasan keretapi bernilai RM5.2 bilion dari Kota Kinabalu ke Kudat, empangan hidro elektrik di Papar dan hak milik tanah adat.

Ia juga membuka kilang minyak masak yang merupakan sebahagian daripada pelan besar untuk menghidupkan semula sektor pembuatan yang malap sejak 1980-an.

Semua usaha ini bertujuan mengembalikan Sabah ke zaman gemilang pada era 1980-an ketika wilayah itu cukup mewah sehingga mampu memberi seragam sekolah percuma kepada setiap anak di Sabah, kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking dalam satu ucapan di Sepanggar.

Apabila pandemik Covid-19 memaksa ekonomi ditutup dan meranapkan pendapatan mereka, kerajaan Warisan menjanjikan bantuan kepada semua rakyat Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2020.

Warisan juga menyiapkan jalan dan jambatan kecil serta membaik pulih rumah yang tidak disiapkan oleh BN, kata seorang lagi pemimpin Warisan Azis Jamman.

“Tidak adil untuk banding apa yang kami buat dalam masa dua tahun dengan tempoh lebih dua dekad BN memerintah Sabah,” kata Azis.

Warisan cuba mendapatkan mandat baharu daripada lebih 1.124 juta pengundi selepas dewan undangan negeri dibubarkan pada 30 Julai lalu atau permintaan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Shafie mahu DUN bubar selepas mendakwa ada tangan-tangan dari Semenanjung yang cuba mengambil alih Sabah dengan membeli wakil rakyat yang setia padanya.

Lias, penduduk kampung dari Sepanggar, percaya Warisan sudah mula mengotakan janji pilihan rayanya.

“Orang nampak bagaimana jalan dibuat dan rumah dibaiki dalam masa dua tahun ini.”

Lias juga mendakwa kerajaan Warisan mengagihkan bantuan ke seluruh kampung dan di kawasan Sepanggar untuk mereka yang hilang pendapatan akibat Covid-19.

“Lebih 200 keluar terima bantuan makanan. Ada yang terlalu miskin sampai terima dua tiga kali,” katanya.

Ali Osman Ismail dari Kampung Rempayan berkata kerajaan negeri membina rumah kos rendah untuk penduduk miskin, selain menaik taraf sistem perparitan.

Beliau tidak setuju dengan kritikan bahawa Warisan tidak banyak berbuat apa-apa dalam masa dua tahun lalu.

“Saya rasa penduduk nampak perkara baik yang mereka buat. Saya percaya dalam pilihan raya ini Warisan akan dapat 60% undi dari kampung ini.”

Lias dari Kampung Karambunai mengaku tidak semua projek kerajaan telah disiapkan, namun katanya Warisan sedang menyiapkannya ketika dewan undangan negeri bubar.

“Kalau mereka dipilih semula, Warisan akan menyelesaikannya,” katanya. – 19 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen