SEBILANGAN kelab malam, pub dan pusat hiburan mengubah model perniagaan mereka setelah terpaksa ditutup sejak lima bulan lepas.
Walaupun negara sudah memasuki fasa pemulihan perintah sekatan pergerakan (PKPP), perniagaan jenis itu masih belum dibenar buka menyebabkan mereka masih tiada pendapatan.
Pemain industri berkata mereka berdepan situasi hidup segan, mati tak mahu, dan sebilangan terpaksa mengubah premis hiburan kepada restoran atau kafe bagi membolehkan mereka terus menggaji pekerja.
Presiden Persatuan Hiburan dan Pedagang Filem Sabah Labuan Peter Chow berkata 50% sehingga 60% ahli persatuan seramai lebih 80 orang itu sudah mengubah model perniagaan bar, karaoke dan kelab malam mereka.
“Jika mereka dibenarkan buka lebih awal, mungkin ada yang mampu bertahan, tetapi sekarang sudah Ogos. Lima bulan tanpa pendapatan, mustahil (untuk bertahan),” kata Chow kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, lebih 700 premis hiburan di Sabah kini beroperasi sebagai bistro atau kafe. Malah, perniagaan Chow sendiri sudah menjadi kafe bermula 1 Julai lalu.
Chow berkata perniagaan sekarang walaupun tidak serancak dahulu, ia lebih baik berbanding langsung tiada pendapatan.
“Selepas kami ubah model perniagaan, kami mula menyediakan hidangan makanan asas dan minuman. Sekurang-kurangnya membolehkan pekerja kami terus bekerja dan kami semua dapat mengurangkan sedikit beban.”
Jelasnya, perniagannya sekarang banyak disokong kawan-kawan dan pendapatan hanya pulih sekitar 20% berbanding sebelum PKP dikuatkuasa 18 Mac lalu.
Di Johor Bharu, pemilik De Cool Pub Desmond Wee berkata beliau mengubah premisnya menjadi kedai makanan Barat sejak Jun lalu.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas perintah sekatan pergerakan bersyarat yang bermula pada 10 Jun masih tidak membenarkan premis hiburan dibuka.
“Jika saya tunggu kelulusan untuk sambung berniaga, macam tunggu mati sahaja. Jadi saya ambil risiko dan ubah model perniagaan,” katanya.
Wee, yang juga naib presiden Persatuan Pengendali Premis Hiburan Johor, berkata pubnya memang menyediakan makanan bar sebelum ini, jadi premis niaganya sudah mempunyai dapur lengkap dan tidak perlu tambah baik dan hanya perlu mengupah tukang masak.
“Tetapi sektor makanan dan minuman persaingannya sangat sengit, dan sekarang pengguna semuanya berhati-hati berbelanja jadi kami tak boleh letak harga mahal sangat.
“Perniagaan tak sebaik dahulu tetapi sekurang-kurangnya kami boleh bayar pekerja,” katanya.
Wee berkata beliau akan terus mengendalikan restoran itu walaupun sekiranya kerajaan membenarkan semua premis hiburan kembali beroperasi pada 31 Ogos, tarikh akhir PKPP.
Jelasnya, ini kerana masih tidak dapat dipastikan bilakah negara akan pulih sepenuhnya disebabkan masih wujud kes baharu Covid-19 walaupun sudah semakin rendah.
Presiden Persatuan Premis Hiburan Johor Tam Yam Meng pula berkata, umumnya tidak sukar bar dan pub mengubah model perniagaan mereka menjadi sebuah restoran.
Ini disebabkan, satu-satunya syarat restoran adalah mempunyai dapur dan sekiranya premis itu sudah mempunyai kelengkapan bersesuaian, mereka hanya perlu memohon premis berkaitan.
Mengubah model perniagaan adalah penyelesaian jangka pendek bagi membantu pemilik premis terus bertahan dalam situasi tidak menentu sekarang, katanya.
“Buat masa sekarang, kerajaan negeri dan persekutuan tidak membenarkan premis hiburan beroperasi, jadi pemilik tiada pilihan selain mengubah model perniagaan.” – 19 Ogos, 2020.
Komen