Nasib umat pelarian


Zainal Rashid Ahmad

GENEVA: Seramai 68.5 juta individu terpaksa melarikan diri dari negara mereka disebabkan peperangan, keganasan dan penindasan, terutamanya di kawasan seperti Myanmar dan Syria.

Malah, jumlah tersebut merupakan rekod paling tinggi sejauh ini, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) hari ini (19 Jun).

Pelarian dari Myanmar bertambah lebih seganda kepada 1.2 juta, sedang tindakan keras tentera negara itu memaksa beratus ribu Muslim Rohingya untuk melarikan diri ke Bangladesh. (Sumber: Mediacorp)

Fakta: Eropah terutama Greece, Itali, Jerman dan Perancis kini menjadi tumpuan pelarian dari Syria, Libya dan Afghanistan.

Banyak masalah ditimbulkan lebih tiga juta pelarian Islam yang kini bertaburan di empat negara Eropah itu.

Ini berikutan krisis kehadiran mendadak pelarian Syria dan Libya sejak 2013 hingga sekarang. Manakala pelarian Afghanistan menyusup masuk ke pelbagai negara Eropah sejak 1980-an. Eropah menerima beban besar berikutan krisis perang sivil yang berpanjangan di beberapa negara Islam sejak 2001 hingga 2011.

Tabik hormat pada Eropah

Saya menghargai kebaikan masyarakat Eropah yang menerima dan melayan pelarian Islam atas nama kemanusiaan.

Cuma, persoalannya: Di negara kita sendiri: atas dasar apakah kita begitu membenci pelarian Rohingya?

Apakah kerana marahkan seorang pengguna Facebooke bernama Long Tiger yang dikenal pasti rakyat Myanmar yang menyamar Melayu?

Atau, isu penguasaan pendatang Rohingya yang menguasai tapak menjual sayur di Pasar Borong Selayang?

Atau, kerana isu seekor kambing yang dipelihara warga Myanmar dalam rumah flat?

Atau, seribu alasan lain mengenai keburukan Rohingya yang asalnya Muslim miskin dan tidak berwarga negara di negara Myanmar?

Saya hairan.

Apakah masyarakat Kristian Eropah tidak memiliki alasan untuk menghalau lebih tiga juta umat Islam yang kini berselerak di pelbagai negara yang mengamalkan prinsip sekular dan ajaran Kristian?

Sekadar renungan, saya imbas kembali isu krisis penghapusan etnik di Myanmar.

Perang penghapusan etnik Rohingya

Pada Disember 2012, lagu Selamat Malam Rohingya diterbitkan TV Alhijrah sebagai klip video kempen meningkatkan kesedaran awam mengenai tragedi pembunuhan umat Islam di Rakhine, Myanmar.

Lagu gubahan Syed Amran al Yahya ini muncul di tengah krisis penghapusan etnik oleh junta tentera Myanmar terhadap penduduk muslim Rohingya.

Pembunuhan massa di Rakhine satu malapetaka yang memalukan selepas Myanmar mendakwa negara itu kini menuju proses demokrasi di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi.

Malah, lebih menyakitkan hati, Suu Kyi – Kanselor Negara Myanmar dan penerima Anugerah Nobel Keamanan 1991 – menafikan sebarang salah laku junta tentera terhadap penduduk Islam di Rakhine.

PBB melaporkan lebih 20 ribu umat Islam dibunuh di Rakhine sejak kempen anti Rohingya meletus.

Malah, data terkini PBB mengesahkan 1.3 juta penduduk Muslim Rakhine melarikan diri ke Bangladesh. Krisis pelarian Rohingya antara tragedi terburuk isu kemanusiaan abad ke 21.

Itu realiti dan dilaporkan secara rasmi oleh pasukan penyiasat PBB.

Kempen anti Rohingya

Saya tidak dapat melupakan kejadian memalukan ketika menganjurkan kempen “Infak Demi Pelajar Tahfiz” pada Julai lalu.

Kempen secara langsung di Facebook Garasi TV ini bagi mengumpulkan dana RM20 ribu membantu Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ) di Kuala Selangor.

PMHQ dan 70 pelajar tahfiz warga miskin mengalami masalah kehabisan dana bagi menjelaskan bil penyelenggaraan dan penyediaan makan minum dan yuran pelajar.

Ketika siaran langsung Facebook Garasi TV mencapai 2,200 tontonan ketika To’ki tampil menyanyi, keadaan berubah tiba-tiba.

Penonton memprotes apabila Syed Amran Al Yahya muncul menyanyikan lagu “Selamat Malam Rohingya”.

Hantaran bertubi-tubi di Facebook Garasi TV meminta lagu itu dihentikan.

Malah, berbondong-bondong penonton keluar meninggalkan siaran langsung projek amal itu kerana marahkan lagu “Selamat Malam Rohingya”.

Pelbagai caci-maki dilemparkan dengan kata-kata menghina bangsa Rohingya. Seterusnya, ia menjadi satu malam yang sangat mendukacitakan.

Lebih 600 penonton meninggalkan siaran langsung dan hanya kembali setelah lagu itu selesai.

Begitulah gambaran betapa bencinya rakyat Malaysia terutama netizen terhadap Rohingya.

Persoalan saya: Mengapa masyarakat sekular Eropah dan Kristian Itali dan Ortodoks Greece menerima umat Islam yang lari dari Syria dan Libya?

Mengapa Tentera Laut Itali mengutamakan misi mengawal laut Mediteranean demi memastikan kapal pelarian dari Syria dan Libya selamat mendarat?

Salah Long Tiger, krisis pasar borong dan kambing dalam flat

Ketika kempen mengumpulkan dana tahfiz itu diadakan, netizen sedang marak melancarkan kempen anti Rohingya di Facebook.

Kempen gara-gara marahkan Long Tiger; pengguna Facebooke keturunan Myanmar yang selama ini menyamar sebagai rakyat Malaysia.

Selain isu Long Tiger, muncul kempen anti Rohingya yang dituduh menguasai perniagaan sayur murah tapak parkir Pasar Borong Selayang.

Malah, artis terkenal pun memuat naik video mengutuk pendatang Rohingya kerana isu seekor kambing ditemukan dalam flat yang disewa.

“Saya benar-benar hairan mengapa begitu teruk kemarahan orang kita pada Muslim Rohingya,” kata Syed Amran.

Pada Disember 2012, ketika ratusan ribu umat Islam Rohingya melarikan diri dari Rakhine berikutan perang penghapusan etnik yang dilancarkan Junta Tentera Myanmar dan penduduk awam Buddha – Malaysia menangis mengenangkan nasib Rohingya.

Puluhan ribu umat Islam berhimpun menyatakan solidariti. Malah, memprotes setengah mati di depan kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.

Bezanya, sikap itu berubah apabila Covid-19 melanda. Apabila ekonomi mula menampakkan kemeruduman, rakyat Malaysia menunjukkan belangnya.

Kehadiran lebih 100 ribu pelarian Rohingya mula dianggap beban dan ancaman.

“Sedih kerana ada yang sanggup caci-maki dan menghasut dihapuskan pendatang Rohingya,” kata Syed Amran.

Realiti umat Islam sebagai pelarian

Saya sendiri tidak mahu melebih-lebihkan keadaan. Sekadar merujuk pada laporan Mediacorp: PBB melaporkan ketika Israel menyambut 70 tahun kemerdekaan, 5.4 juta penduduk Palestin hidup sebagai pelarian.

Kita memahami nasib rakyat Palestin. Sikap Zionist bukan isu baru kerana Tentera Israel sudah menzalimi rakyat Palestin sejak 14 Mei 1948.

Pada masa sama, kita mengagumi sikap beberapa negara miskin. Laporan PBB menyebut: 85% pelarian Islam kini menumpang di negara-negara miskin. Antaranya di Lubnan, Pakistan dan Uganda. Laporan itu turut mendedahkan, Turki kini menjadi tanah tumpangan 3.5 juta pelarian Syria.

Begitulah kita. Sikap takuk lama yang mudah beremosi. Kita berubah begitu mudah kerana kekal isu Long Tiger. Kita melenting kerana krisis peniaga sayur di Pasar Borong Selayang.

Lebih aneh, kita mengamuk terhadap 100 ribu pelarian Rohingya hanya kerana isu seekor kambing ditemui di dalam rumah flat. – 19 Ogos, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen