Bung Moktar ketuai rundingan agihan kerusi BN, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis

Bung Moktar Radin akan mengetuai perbincangan pembahagian kerusi PRN Sabah dan calon ketua menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2020.

PENGERUSI Umno Sabah Bung Moktar Radin akan mengetuai kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk menentukan rundingan kerusi dan calon ketua menteri, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Calon bagi jawatan ketua menteri bagaimanapun akan ditentukan selepas BN menang pilihan raya, tambah Zahid yang juga pengerusi BN pusat itu. 

“Selepas PRN kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua Adun yang ada.

“Di Sabah ada 73 kerusi DUN. Bagi pembentukan kerajaan negeri, ini tahap kedua untuk hadapi perundingan selepas pilihan raya tamat,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai hari pengundian di Sabah, selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Penamaan calon ditetapkan pada 12 September manakala pengundian awal pada 22 September.

Mengenai rundingan kerusi, Zahid berkata Bung Moktar akan berunding secara tolak ansur untuk mengagihkan kerusi dengan parti-parti lain dalam BN serta parti di luar BN termasuk Bersatu, PBS dan Star.

“Selain Umno dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) yang menganggotai BN, terdapat beberapa parti politik Sabah lain, tentunya mereka mahu dan berhasrat bertanding di kerusi pada hemat mereka boleh beri sumbangan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu.

“Kebijaksanaan dan kompromi mesti mendepani permintaan parti berkenaan,” katanya.

Mengenai kerusi Bersatu yang asalnya atas tiket BN, Zahid berkata perkara itu akan “dimurnikan” dalam rundingan antara Bung Moktar dan ketua Bersatu Sabah.

Menurut Zahid, dalam semua rundingan itu beliau dan setiausaha agung BN tidak akan lepas tangan.

BN Sabah juga kata Zahid akan berbincang dan berunding dengan Parti Cinta Sabah pimpinan bekas menteri BN Anifah Aman.

“Saya dan setiausaha agung takkan lepaskan tangan. Kami akan adakan pertemuan dengan presiden parti di Sabah. 

“Kita harus ingat Parti Cinta Sabah yang diketuai Anifah akan turut serta. 

“Namun kita akan berbincang jika perlu dengan Anifah untuk susun atur tentukan gerak kerja Sabah jika pintu masih terbuka untuk kami berunding dengan parti berkenaan,” katanya.

Bung Mokhtar dalam sidang media sama berkata mereka akan menggunakan logo BN dalam pilihan raya nanti.

DUN Sabah dibubarkan sehari selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa ada cukup sokongan untuk menggantikan kerajaan yang diterajui Mohd Shafie Apdal.

Beberapa jam selepas sidang media Musa, Shafie mengadap Yang DiPertua Sabah Juhar Mahiruddin dan menasihatinya untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan semula. – 18 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen