Wakil Umno mahu kerajaan siasat TMI, isteri peguam negara


Muzliza Mustafa

Beberapa perwakilan di Perhimpunan Agung Umno 2017 menggesa kerajaan menyiasat portal The Malaysian Insight yang didakwa menghina kepemimpinan Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Disember, 2017.

PERWAKILAN di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 tampil dengan gesaan agar kerajaan menyiasat portal The Malaysian Insight yang didakwa menghina kepemimpinan Umno dan Perdana Menteri Najib Razak.

Seorang daripadanya, Mohd Nashrol Hisham Abdullah berkata warga Umno sepatutnya berang dengan penghinaan ke atas presiden mereka.

“Jangan biar perkara ini berlaku. Pihak berwajib cari sampai lubang cacing. Kita kena marah kalau dia (TMI) hina pemimpin kita.

“Kita cari, siapa di belakang The Malaysian Insight,” kata wakil Pulau Pinang itu dalam ucapan ketika membahaskan satu usul di persidangan itu semalam.

Katanya, beliau turut membuat carian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selepas perkara itu dibangkitkan oleh seorang lagi perwakilan semalam.

Nashrol berkata cariannya itu menunjukkan portal berkenaan dimiliki oleh individu bernama Faridah Begum.

Faridah merupakan kakak kepada ketua pengarang TMI, Jahabar Saddiq dan juga isteri kepada Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

“Kami perwakilan mahu dia (disiasat). Siasat siapa (dia). Siapa Faridah Begum ini,” kata Nashrol.

Perkara itu pada awalnya dibangkitkan wakil Johor, Haliza Abdullah semalam yang mendakwa TMI turut mengeluarkan laporan berbentuk “serangan” ke atas presiden mereka.

Haliza seterusnya menggesa kerajaan menggunakan kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta suruhanjayanya untuk menyiasat TMI.

“Mereka terus menyerang perdana menteri kita secara individu atas kapasiti keperibadian Datuk Seri presiden.

“Saya berharap sebagai sebuah laman web yang berdaftar, pihak kerajaan terutamanya kementerian dan SKMM mengambil tindakan dan menyemak sama ada The Malaysian (Insight) ini beroperasi di bawah landasan undang-undang yang ada,” katanya.

Kedua-dua perwakilan tersebut bagaimanapun tidak menyebut mana-mana laporan dari TMI yang dianggap menghina perdana menteri atau pemimpin Umno.

Malah, tiada aduan dibuat kepada TMI berhubung dakwaan ini.

Persidangan kali ini merupakan perhimpunan agung terakhir bagi Umno sebelum parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen