Artis ‘bebas dari beban sejarah’ selepas 19 hari dirantai dengan blok marmar


Selama 19 hari Mikes Poppe tidur, makan dan bekerja dalam keadaan kaki dirantai kepada blok marmar seberat 3 tan, sehinggakan kurator terpaksa memotong rantai itu dengan blowtorch (penunu api). – Gambar ihsan Facebook rasmi Mikes Poppe, 9 Disember, 2017.

ARTIS Belgium yang merantai dirinya pada blok marmar bagi menunjukkan betapa “beratnya sejarah” terpaksa diselamatkan selepas 19 hari beliau cuba untuk membebaskan diri daripada rantai besi yang diikatkan pada dirinya sendiri.

Selama 19 hari Mikes Poppe tidur, makan dan bekerja dalam keadaan kaki dirantai kepada blok marmar seberat 3 tan, sehinggakan kurator terpaksa memotong rantai itu dengan blowtorch (penunu api).

Persembahan seni yang dirakam secara online itu bertajuk De Profondis, dan dipersembahkan di dalam mahkamah di Ostend, Belgium. 

Poppe, 34, berkata beliau tidak menyesal dengan aksi yang dilakukannya itu.

“Saya tak rasa ‘kebebasan’ saya itu sebagai satu kegagalan,” katanya selepas ikatan rantai besi itu dipotong, seperti dipetik oleh akhbar Het Laatste Nieuws.

“Saya masih boleh berhubung dengan orang awam, malah pesanan saya mengenai harapan dan putus asa juga diluahkan. Aksi membebaskan diri itu sendiri bukan matlamat utama persembahan saya.”

Kurator Joanna De Vos berkata, beliau dibebaskan “atas alasan praktikal,” sebelum menambah bahawa tarikh tamat persembahan yang bermula 10 November lalu telah beberapa kali dianjak.

Melalui laman web persembahan itu, marmar jenis Carrara merupakan jenis marmar kualiti tinggi yang digunakan pengarca, selain ia juga memberi makna simbolik “tradisi sejarah seni yang hebat.”

“Artis itu merasai sendiri tradisi hebat dan dalam masa sama juga merasa sendiri aksi itu sebagai satu sumpahan. Kadang-kadang, seseorang perlu memecah tembok pemikiran dalam mencari suara sendiri,” kata laman web itu.

Namun, Poppe mengakui, untuk “bebaskan diri” daripada blok marmar itu lebih susah berbanding memulakan persembahannya itu.

“Saya pandang rendah dengan blok marmar itu sebab asalnya saya fikir saya mampu bertahan untuk 10 hari. Tapi awak tak boleh lawan masa, dan awak tak boleh asingkan diri daripada sejarah.”

Tambahnya lagi: “Saya akan mula baca respon yang diberi pengunjung dan cuci badan dalam air suam.”

Bagaimanapun, blok itu akan diletakkan di situ sebagai sebahagian daripada acara persembahan tersebut bersama video persembahan dan lukisan yang dihasilkan Poppe ketika terikat selama hampir tiga minggu itu. – AFP, 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen