Azmin tetap akan pertahan kerusi Gombak, kata pembantunya


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal Mohamed Azmin Ali yakin mampu menangi hat pengundi selepas tindakannya keluar parti dan menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan.– Gambar The Malaysian Insight oeh Seth Akmal, 18 Ogos, 2020.

AHLI Parlimen Gombak selama tiga penggal Mohamed Azmin Ali akan terus mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang walaupun berdepan kemarahan pengundi, kata pembantunya.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa Azmin yakin untuk memenangi hati pengundi yang meluahkan kekecewaan mereka selepas beliau keluar daripada PKR dan menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari.

Bagaimanapun, menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin Yassin itu dijangka akan berdepan cabaran sengit daripada bekas partinya PKR yang bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kerusi yang dianggap miliknya.

“Sudah pasti beliau akan kekal dan pertahankan. Kami yakin beliau mampu pertahan kerusi itu dengan rekodnya yang baik.

“Beliau berkhidmat di Gombak tanpa mengecualikan sesiapa dan ini dibuktikan menerusi jumlah undian yang diterima pada pilihan raya umum lalu.

“Pada setiap pilihan raya, jumlah undiannya meningkat,” kata pembantunya yang dikenali.

Pada pilihan raya umum 2008, Azmin mendapat 40,334 undi menewaskan calon Umno dengan majoriti 6,867 sekaligus memenangi kerusi yang dipegang Umno sejak 1995.

Dalam pilihan raya seterusnya pada 2013, Azmin menerima 54,827 undi menewaskan calon Umno dan bebas dengan 4,734 majoriti undi.

Pada pilihan raya umum lalu, Azmin yang mempunyai pengaruh sebagai timbalan pengerusi PKR, mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 48,721 sekaligus menewaskan calon Umno dan PAS. Keseluruhannya beliau mendapat 75,113 undi.

Namun ia dijangka akan berkurangan selepas tindakannya keluar daripada PKR bersama sekumpulan ahli Parlimen untuk menyertai Bersatu yang diterajui Muhyiddin. Mereka bekerjasama dengan Umno dan PAS serta beberapa parti dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau dan pengikutnya kemudian dipecat dari PKR, namun mereka dijangka akan menyertai Bersatu tidak lama lagi.

PKR Gombak mahu membuktikan mereka boleh bertahan tanpa Azmin, dan mahu memenangi kerusi Parlimen itu.

Timbalan ketua cabang PKR, Abdul Rahim Kasdi berkata pengaruh Azmin makin terhakis.

Katanya ancaman sebenar PKR adalah daripada PAS dan Umno.

“Kita tidak bimbang dengan Azmin dan kumpulannya. Ancaman sebenar kita adalah Umno dan PAS dan kita tidak nafikannya.

“Mereka ada asas sokongan yang kuat di sini,” kata Rahim kepada The Malaysian Insight.

Rahim juga berkata PKR Gombak kekal utuh walaupun dengan pengkhianatan Azmin.

“Impaknya sangat kecil dan ya, hanya segelintir penyokongnya meninggalkan parti.

“Majoriti akar umbi masih bersama PKR dan kita masih kukuh,” tambahnya. – 18 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen