Pengundi Gombak terkesan dengan pengkhianatan Azmin


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali dijangka akan berdepan waktu sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Ogos, 2020.

MOHAMED Azmin Ali tidak berdepan sebarang masalah untuk mengekalkan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum ke-14 berbanding dua pilihan raya sebelum itu.

Pada 2018, sebagai timbalan presiden PKR yang berkuasa, beliau menang dengan majoriti 48,721 undi menewaskan calon Umno dan PAS.

Pada pilihan raya umum 2013, beliau menang dengan 4,734 majoriti undi menentang Umno dan calon bebas, dan sebelum itu pada 2008 beliau turut menang dengan majoriti undi 6,867 dalam perlawanan satu lawan satu dengan calon Umno.

Bagaimanapun ia mungkin tidak lagi sama pada pilihan raya umum akan datang yang mungkin sukar buat Azmin, berikutan kekecewaan yang diluahkan pengundinya selepas beliau keluar daripada PKR dan Pakatan Harapan yang menyebabkan kejatuhan kerajaan.

Apa yang lebih teruk bagi pengundi, beliau memainkan peranan utama dengan menyertai Bersatu yang diterajui Muhyiddin Yassin sekaligus menyaksikan Umno dan PAS kembali dalam kerajaan memerintah iaitu Perikatan Nasional. Sejak itu, beliau dan pengikutnya dipecat oleh PKR.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Zul (kiri) menyifatkan tindakan Mohamed Azmin Ali sebagai satu pengkhianatan terhadap parti dan pengundi.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Ogos, 2020.

Bekas pemimpin PKR Zuraida Kamaruddin, yang meninggalkan parti bersama Azmin dan ahli Parlimen lain berkata, terdapat satu “acara khas” yang dirancang minggu hadapan untuk mengumumkan secara rasmi keahlian mereka dalam Bersatu.

Beberapa pengundi di Gombak yang bercakap dengan The Malaysian Insight menyalahkan Azmin kerana kejatuhan PH dan berazam untuk menghukumnya pada pilihan raya umum akan datang.

Salah seorang daripada mereka adalah Zul, 50, yang menyatakan beliau sangat kecewa dengan tindakan Azmin meninggalkan PKR bersama sekumpulan ahli Parlimen lain.

“Selama 20 tahun saya menyokong PKR dan secara tiba-tiba, calon yang kita pilih untuk berkhidmat kepada rakyat di bawah kerajaan sepanduk Pakatan Harapan, meninggalkan parti dan menyertai parti lawan untuk membentuk kerajaan baharu.

“Secara peribadi saya kecewa dengannya. Tindakannya satu pengkhianatan,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan di gerai.

Sementara itu, seorang pengundi di Hulu Kelang - salah satu daripada tiga kerusi negeri di Gombak- berkata rakyat di kawasan itu pasti akan mengundi calon lain pada pilihan raya akan datang.

“Saya merasakan rakyat di sini akan mencari pengganti. Sama ada Umno atau PAS, atau mungkin PKR.

“Rakyat akan mencari calon yang berkredibiliti. Mereka kecewa dengan Azmin,” katanya.

Turut berkongsi sentimen yang sama dengan Rahim adalah Firdaus Ahmad Azri, yang menyatakan Azmin mungkin akan berdepan keadaan sukar sekiranya terus bertanding di Gombak.

“Ianya tidak akan mudah kali ini. Rakyat marah. Mereka mungkin pilih calon lain kali ini. Memandangkan majoriti rakyat memilihnya sebelum ini, beliau perlu beri penjelasan apabila berkempen di sini.”

Bagi Parvathi Ramaiyah, PKR sudah berkhidmat di kawasan itu sejak ia mengambil alih pada 2008. Menurutnya, beliau mungkin undi Azmin sekali lagi walaupun tindakannya keluar daripada PH.

“Kebajikan kami tetap dijaga sejak PKR mengambil alih dan kami berpuas hati. Tetapi saya mungkin undi dia sekali lagi.”

Sankar dan Puspa turut senada dengan Parvathi dan berkata Azmin sangat dikenali dalam kalangan masyarakat India di daerah itu.

“Kami berpuas hari dengan ahli Parlimen dan PKR. Mereka jalankan tugas dengan baik bantu orang miskin.

“Pilihan raya umum akan datang, kami mungkin undi Azmin, namun pilihan masih terbuka,” tambah mereka.

Parvathi Ramaiyah tetap berpuas hati dengan khidmat yang diberikan Mohamed Azmin Ali sepanjang menjadi ahli Parlimen Gombak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Ogos, 2020.

Faktor Muafakat Nasional

Gombak mempunyai tiga kerusi negeri - Hulu Kelang, Gombak Setia dan Sungai Tua.

Hulu Kelang disandang oleh Saari Sungib dari Amanah selama tiga penggal, manakala Sungai Tua disandang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Gombak Setia dimenangi Hilman Idham yang merupakan salah seorang penyokong setia Azmin dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

Azmin kini merupakan menteri kanan dalam kerajaan Muhyiddin dan dijangka akan menyertai Bersatu tidak lama lagi. 

Memandangkan Bersatu merupakan sebahagian daripada gabungan Muafakat Nasional dengan Umno dan PAS, terdapat kemungkinan beliau akan diberikan kerusi yang sama, melainkan beliau ingin keluar.

Pemimpin PAS dan Umno memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka sedia untuk bekerjasama dengan calon MN pada plihan raya umum akan datang.

Ketua penerangan Umno Selangor Dr Abdul Rahman Bakri berkata rundingan kerusi dinegeri itu masih belum dimuktamadkan, namun ia akan seleas sebelum Bersatu secara rasmi menyertai gabungan Umno-PAS.

“Apa yang saya tahu, kita akan ikut apa yang dikatakan oleh presiden bahawa hanya ada Muafakat Nasional. Jadi kerjasama kami hanya dengan rakan MN.

“Tambahan pula, rundingan kerusi sudah selesai dan kami cuba jadikan MN lebih kuat,” kata ketua Umno bahagian Sabak Bernam itu.

Turut senada dengan Rahman adalah jurucakap PAS di Gombak.

“Yang diPertua PAS di Gombak sudah jelaskan bahawa rakan kami adalah Umno.

“Azmin tiada dalam gambaran (buat masa ini) walaupun di peringkat persekutuan kami masih sebahagian daripada kerajaan,” kata sumber yang enggan mengulas lanjut. – 18 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen