Macao berpesta dengan filem antarabangsa


Festival Filem Antarabangsa Macao yang dibuka secara rasmi malam tadi bakal berlansung selama tujuh membariskan 48 buah filem dengan tema dan genre yang pelbagai dari serata dunia, menggabungkan filem popular Hollywood, arthouse dan klasik. – Gambar ihsan IFFAM, 9 Disember, 2017.

FESTIVAL Filem Antarabangsa Macao dibuka secara rasmi malam tadi dengan usaha lebih gigih, kata penganjurnya, mahu meletakkan wilayah pentadbiran khas China itu sebagai pusat kebudayaan baru di rantau Asia.

Festival yang masuk tahun kedua itu dibuka dengan tayangan filem “box-office” Paddington 2.

Pengarah Pejabat Pelancongan Macao, Maria Helena de Senna Fernandes berkata festival filem antarabangsa ini diharap akan jadi tarikan baru pelancong ke wilayah bekas jajahan Portugis itu.

“Kami berharap festival ini akan memberikan manfaat jangka panjang kepada pembangunan industri filem, kebudayaan, kreatif dan pelancongan di Macao,” katanya pada majlis pembukaan penuh meriah di pusat kebudayaan Macao.

Pelakon Malaysia yang menempa nama di peta perfileman dunia, Michelle Yeoh dijadual hadir sebagai tetamu istimewa festival pada hari penutup untuk satu sesi khas berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai industri filem masa kini.

Festival tujuh hari ini membariskan 48 buah filem dengan tema dan genre yang pelbagai dari serata dunia, menggabungkan filem popular Hollywood, arthouse dan klasik.

Sebanyak 10 buah filem bertanding merebut hadiah wang tunai berjumlah AS$60,000 berserta trofi. Hadiah bagi kategori filem, pengarah, pelakon, lakon layar terbaik itu akan diumumkan pada malam penutup pada 14 Disember ini.

Antara filem yang bertanding termasuk My Pure Land, calon United Kingdom ke Anugerah Akademi; “The Hungry” (India), adaptasi drama Shakespeare, “Titus Andronicus; Hunting Season” (Argentina), pemenang anugerah pengkritik di Venice, September lepas dan “Borg McEnroe” (Sweden), yang mengangkat perlawanan akhir Wimbledon 1980 antara dua jaguh tenis dunia.

Sebanyak 14 buah filem yang sedang dalam proses pembikinan bersaing untuk menarik hadiah sokongan penerbitan dan dana, termasuk sebuah projek dari Malaysia “The Girl With No Head” yang bakal diarahkan bersama oleh Liew Seng Tat dan Pete Teo.

Sebuah filem Malaysia, Shuttle Life arahan Tan Seng Keat terpilih untuk tayangan dalam kategori Best of Panorama.

Tiga filem Hollywwod disenaraikan sebagai persembahan khas iaitu “I, Tonya” arahan Craig Gillespie, yang diangkat dari kisah benar skandal atlet sukan luncur ais Amerika Syarikat; Surbubicon, arahan George Clooney dan “The Shape of Water” arahan Guillermo de Toro.

Filem klasik “Rashomon, 2001: A Space Odyssey” dan “Silence of the Lambs” adalah antara enam filem yang ditayangkan dalam kategori Crossfire, sebagai ruang pertukaran budaya antara Timur dan Barat, dengan pengarah dari Barat memilih filem dari Asia untuk tayangan dan sebaliknya. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen