KESAN wabak Covid-19 turut dirasai industri kedai kopi tradisional yang menyaksikan sejumlah 2,000 kedai gulung tikar sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa, kata persatuan.
Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura Ho Sun Mong mendedahkan jumlah kedai gulung tikar bertambah selepas kelonggaran beroperasi pada Mei kerana mereka diperlukan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan.
Katanya, situasi semasa menjejaskan semua kedai kopi termasuk di kawasan tarikan pelancong seperti di Pulau Pinang atau kawasan yang kedai kopi sudah lama wujud seperti di Malaysia Timur.
“Dianggarkan tempoh pemulihan untuk kedai kopi tradisional akan lebih lama. Setakat ini, kebanyakan ahli berkata perniagaan mereka berkurangan 40% berbanding sebelum PKP. Ia lebih sukar untuk kedai kopi di bandar besar yang sewanya mahal. Kedai kopi umumnya hanya boleh raih untung sedikit tetapi perlukan pelanggan ramai untuk tarik lebih ramai pelanggan.”
Disebabkan itu, memikirkan terpaksa menanggung lebih banyak kerugian, Ho berkata ramai yang memilih untuk menutup perniagaan mereka.
Jelasnya, berdasarkan maklum balas ahli seluruh negara, lebih banyak kedai kopi di tradisional di Pulau Pinang dan Sarawak memilih untuk menghentikan operasi.
“Ahli kami mengendalikan hampir 20,000 kedai kopi di seluruh Malaysia. Ada yang ditutup sementara sepanjang PKP, ada juga yang menutup langsung kedai mereka. Malah kedai kopi terkenal dengan sejarah berdekad lamanya juga tidak mampu membayar sewa dan berdepan kesan wabak.”
Pulau Pinang, salah sebuah kawasan tarikan pelancong utama di Semenanjung Malaysia juga bergelut untuk memulihkan ekonominya.
Pembatalan sekatan perjalanan rentas negeri walaupun pintu sempadan antarabangsa masih ditutup, tidak banyak membantu menyokong kedai kopi tradisional yang bergantung kepada kehadiran pelancong.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Fock Cheow Pulau Pinang Toon Koon Ku berkata perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) memberi kesan baik kepada operasi, tetapi kekurangan pelancong masih dirasai.
Walaupun masih ramai orang keluar pada hujung mingu, ia hanya memberi manfaat kepada kedai kopi terletak berhampiran pasar awam kecuali pada hujung minggu dan cuti awam. Tetapi, secara umumnya, orang ramai masih memilih untuk makan di rumah dan ia menjejaskan industri.
Beliau memberi contoh Kedai Kopi See Kong Ooi yang diasaskan pada 1936 dan sudah diuruskan tiga generasi juga terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kesan wabak kepada ekonomi.
“Terdapat hampir 200 kedai kopi tradisional di Pulau Pinang dan dianggarkan 15% sudah ditutup. Bukan hanya pemilik yang terjejas, ramai juga orang Pulau Pinang yang kehilangan kerja kerana kilang ditutup, dan orang takut untuk keluar berbelanja.”
Presiden Peniaga Kedai Kopi dan Restoran Bintulu Hii Hung Yii pula berkata kesan daripada wabak, PKP dan kekurangan pekerja asing memberikan cabaran besar kepada kedai kopi tradisional.
Katanya, sekurang-kurangnya 10% sehingga 15% kedai kopi di Sarawak sudah ditutup.
Beliau yang juga timbalan presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura berkata terdapat lebih 1,000 kedai kopi tradisional di Kuching sahaja dan beratus kedai lagi di Bintulu, tetapi disebabkan penguatkuasaan PKP untuk mengekang wabak, setakat ini 30 kedai sudah gulung tikar.
“Kami juga bermasalah dengan penguatkuasaan tidak konsisten antara kerajaan persekutuan dan kerajaan tempatan. Misalnya, bolehkan warga emas lebih 60 tahun dan kanak-kanak makan di luar? Ada Jabatan Kesihatan negeri yang kata tak boleh, ada majlis perbandaran yang kata boleh, kami semua keliru,” katanya.
“Di Bintulu hampir 60% kedai kopi disewa dan susah untuk bayar sewa dan gaji pekerja ketika tidak beroperasi. Penduduk tempatan tak mahu bekerja di kedai kopi kerana itu pemilik lebih gemar upah pekerja Indonesia.
“Selepas larangan pengambilan pekerja asing dan sekatan pergerakan, kedai kopi Sarawak berdepan masalah kekurangan pekerja yang serius. Perbelanjaan lain seperti kerja percucian dan pembelian alatan juga bertambah.
“Dalam anggaran saya, perniagaan kedai kopi di Sarawak sekarang hanyalah sekitar 50% berbanding sebelum PKP, kerana orang ramai masih tak berani makan di luar,” katanya. – 17 Ogos, 2020.
Komen