BAHRAIN dan Oman mungkin menjadi negara Teluk yang akan mengikuti langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengadakan kesepakatan dengan Israel, kata Menteri Perisikannya hari ini.
“Setelah perjanjian (dengan UAE) akan ada perjanjian tambahan dengan lebih banyak negara-negara Teluk dan negara-negara Muslim di Afrika.
“Saya fikir Bahrain dan Oman pasti ada dalam agenda. Selain itu dalam penilaian saya ada kemungkinan pada tahun akan datang akan ada perjanjian damai dengan negara-negara Afrika antaranya Sudan,” kata Eli Cohen kepada radio tentera.
Bahrain dan Oman memuji kesepakatan UAE-Israel walaupun tidak ada yang mengulas prospek negara sendiri untuk menormalkan hubungan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pernah menemui pemimpin Oman dan Sudan dua tahun lalu.
Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat memberitahu Jumaat lalu bahawa Rumah Putih sudah berhubung dengan “banyak” negara di wilayah itu, berusaha untuk melihat potensi perjanjian yang boleh diwujudkan.
Pegawai itu enggan menyebut nama negara tetapi mengatakan negara tersebut adalah negara Arab dan Islam di Timur Tengah serta Afrika.
Pada Khamis Israel dan UAE mengumumkan akan menormalkan hubungan diplomatik dan menjalin hubungan baharu lebih luas.
Perjanjian itu yang terbentuk dengan bantuan Amerika Syarikat telah mendapat tentangan Iran.
Malah rakyat Palestin mengecam perjanjian itu sebagai satu pengkhianatan.
Israel menandatangani perjanjian damai dengan Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994.
Tetapi UAE bersama dengan kebanyakan negara Arab lain tidak mempunyai hubungan diplomatik atau ekonomi formal dengan Israel.
Bahrain, sekutu rapat Arab Saudi menjadi tuan rumah pegawai kanan Israel pada persidangan keselamatan 2019 serta persidangan yang diketuai Amerika Syarikat untuk meningkatkan ekonomi Palestin sebagai sebahagian inisiatif perdamaian Presiden AS Donald Trump. – Reuters, 16 Ogos, 2020.
Komen