SATU roket dilancarkan ke pekan Sderot, di selatan Israel dari Semenanjung Gaza, malam tadi, tetapi pihak tentera enggan memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu.
Pengumuman oleh radio awam bagaimanapun menyebut roket itu gagal meletup dan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan, tetapi seorang wanita berusia lingkungan 50-an diberi rawatan ringan kerana mengalami kejutan.
Tembakan itu yang ketiga setakat ini dan memasuki malam kedua selepas pengumuman oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung pengiktirafan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel.
Sementara itu di Gaza, dua penduduk Palestin maut dalam pertempuran yang tercetus susulan pengumuman Trump itu.
Seorang lagi penduduk dilaporkan berada dalam keadaan sangat kritikal selepas ditembak di bahagian kepala semasa pertempuran itu.
Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan berkata 14 penduduk tercedera dalam serangan udara dilancarkan tentera Israel bagi membalas tembakan roket berkenaan.
Tentera Israel mendakwa kira-kira 4,500 rakyat Palestin terbabit dalam keganasan di enam lokasi di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza. – AFP, 9 Disember, 2017.
Komen