Jabatan warisan tidak dirunding mengenai perobohan bangunan di Bukit Fraser


Bukit Fraser pernah dikenali sebagai ‘Bandar Inggeris Malaysia’ kerana memiliki rumah bergaya Inggeris. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2020.

JABATAN Warisan Negara tidak dimaklumkan oleh pemaju berhubung kerja perobohan sebuah banglo kolonial di Bukit Fraser bulan lalu, kata Mesran Mohd Yusop.

Ketua pengarahnya memberitahu New Straits Times (NST) bahawa agensi itu terkejut apabila mengetahui berita perobohan bangunan tersebut.

“Kami kecewa kerana bangunan warisan di stesen bukit itu kini  hilang. Kami (jabatan) mungkin tidak dapat melakukan banyak perkara kerana bangunan itu dimiliki secara persendirian, tetapi jika jabatan dimaklumkan, kami akan dapat menyediakan maklum balas. “

“Jabatan dimaklumkan bahawa 15 agensi dipanggil untuk mengadakan pertemuan sebelum perobohan bermula.”

“Sayangnya, kami bukan di antara mereka yang dijemput untuk sesi tersebut. Bangunan ini mempunyai banyak nilai warisan,” katanya dalam satu acara baru-baru ini di Sungai Pahang di Kampung Pulau Maulana.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan bahawa penduduk di Bukit Fraser menentang pembinaan sebuah bangunan resort dan spa 14 tingkat yang sedang dibangunkan sebuah syarikat swasta.

Mereka berkata bahawa pembangunan itu akan menyebabkan kerosakan persekitaran di tanah tinggi tersebut dan boleh menimbulkan bahaya bagi masyarakat kerana ia adalah kawasan tanah runtuh.

Banglo dengan gaya Inggeris itu adalah rumah persinggahan lama Maybank pada tahun 60-an. Bangunan lain yang dirobohkan adalah projek terbengkalai Jelai Resort di sebelah rumah persinggahan Maybank.

Mesran berkata bahawa rumah persinggahan Maybank tersebut adalah “senibina langka” dan menjelaskan walaupun beberapa bangunan lama tidak diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), ia masih boleh dilindungi oleh kerajaan tempatan.

“Jabatan Warisan Negara berharap pihak berkuasa tempatan melindungi bangunan atau tapak warisan di bawah peruntukan perlindungan tempatan, seperti pelan kawasan khas atau pelan tempatan.

“Rakyat harus memahami bahawa tanggungjawab untuk pemeliharaan dan perlindungan bangunan atau tapak warisan bukan hanya terletak di bawah Jabatan Warisan Negara, tetapi juga negeri, kerajaan tempatan, masyarakat dan individu.

“Malah pemilik bertanggungjawab memastikan bangunan atau tapak warisan mereka terpelihara. Ini berdasarkan Seksyen 42 Akta Warisan Kebangsaan 2005,” kata Mesran seperti yang dipetik oleh NST.

Di bawah Seksyen 42, Akta Warisan Kebangsaan 2005, pemilik tapak warisan bertanggungjawab untuk memastikannya berada dalam keadaan baik dan bahawa pesuruhjaya warisan negara boleh mengambil tindakan untuk memastikan perkara ini dipatuhi, sesuai dengan nilai warisan bangunan.

Khamis lalu, pegawai daerah Raub Mohammad Shahid Ismail berkata bahawa pihak pemaju telah mendapat perintah berhenti kerja dan diberitahu untuk berunding dengan Jabatan Alam Sekitar mengenai aspek teknikal reka bentuk baharu.

Bagaimanapun, pihak pemaju berkata bahawa perintah berhenti kerja adalah untuk membolehkan ciri dan reka bentuk bangunan baharu selaras dengan nuansa Inggeris lama di stesen bukit. – Bernama, 15 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen