RATUSAN umat Islam menunaikan solat Jumaat di depan bangunan White House sebagai bantahan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Kebanyakan yang hadir menyahut seruan organisasi Islam AS, membentang sejadah di kawasan taman di depan kediaman presiden.
Kebanyakan penunjuk perasaan memakai selendang “keffiyeh” bercorak bendera Palestin, malah ada antara mereka yang memegang sepanduk mengutuk tindakan Israel menguasai timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat.
“Trump tidak memiliki sebidang tanah di Baitulmaqdis dan Palestin. Dia hanya memiliki Menara Trump. Dia boleh menyerahkannya kepada rakyat Israel,” kata Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika Islam (CAIR).
Pada Rabu lalu, Trump mengisytiharkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel dan sekali gus mengumumkan pemindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. – AFP, 9 Disember, 2017.
Komen