PUTRAJAYA perlu mengeluarkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi RM45 bilion bagi membantu memerangi kelembapan ekonomi disebabkan Covid-19, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, hari ini.
Lim yang juga setiausaha agung DAP menjelaskan, bantuan kewangan tambahan itu diperlukan bagi menghalang rakyat Malaysia terus ditimpa kesukaran disebabkan masalah ekonomi.
Gesaan ini dibuat selepas negara merekodkan penguncupan KDNK suku tahunan paling teruk dalam sejarah, iaitu sebanyak 17.1% bagi enam bulan pertama 2020.
“Kerajaan patut melaksanakan satu lagi kitaran langkah kewangan pasca Covid serupa dengan suntikan dana RM45 bilion dibuat pada awal April.
“KDNK sebenar yang berubah jatuh 16.5% suku-ke-suku (q-o-q). Ini berbanding dengan kejatuhan suku pertama sebanyak 2% q-o-q. Dengan kejatuhan q-o-q dua kali berturut-turut, ini mengesahkan yang Malaysia memasuki kelembapan teknikal pada 1H20 (separuh pertama 2020).
“Wujud keperluan mendesak untuk satu lagi pusingan pakej rangsangan ekonomi RM45 bilion bagi menghalang deflasi, termasuklah bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana dan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi apabila ia tamat pada 30 September.
“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kesukaran lebih hebat malah kemuflisan kerana ramai (rakyat) bergelut untuk membayar pinjaman mereka, sama ada untuk tujuan pembiayaan kereta, rumah atau perniagaan,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.
Majoriti pasaran perniagaan Malaysia teruk terjejas kerana wabak Covid-19 apabila Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan virus pada Mac lalu.
Perniagaan yang dianggap tidak penting terpaksa ditutup sepanjang PKP menyebabkan banyak terpaksa gulung tikar. – 16 Ogos, 2020.
Komen